Ops Imigresen, 24 PATI ditahan di Lahad Datu
27 November 2024
LAHAD DATU: Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Sabah di kawasan rumah setinggan daerah Lahad Datu pada awal pagi Selasa berjaya menahan seramai 24 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Operasi ini dijayakan dengan kekuatan seramai 63 orang pegawai daripada Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu, Pejabat Imigresen Lahad Datu, Pejabat Imigresen Tawau dan Pejabat Imigresen Sandakan, bermula kira-kira 12 tengah malam dan berakhir jam 04:00 pagi pada Selasa.
Turut serta dalam operasi ini Jafri Embok Taha, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) bersama Basri Othman, Pengarah Bahagian Operasi daripada Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan orang awam berhubung kehadiran warga asing yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri.
Katanya seramai 53 orang telah diperiksa dalam operasi ini dan daripada jumlah yang diperiksa ini, 24 PATI ditahan.
"PATI yang ditahan terdiri daripada 23 warganegara Filipina iaitu 16 orang lelaki dewasa, 4 orang wanita, 2 orang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
"Manakala seorang lagi yang ditahan ialah seorang lelaki warganegara Indonesia.
"Kesemua yang ditahan berumur di antara 5 bulan hingga 55 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saleha, kesemua tahanan akan
ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan susulan.
Katanya kesukaran akses ke kawasan setinggan dengan keadaan struktur rumah yang tidak teratur serta berlumpur menyukarkan anggota penguatkuasa
dalam menjalankan operasi.
"Selain itu, kawasan rumah setinggan tersebut yang berbukit-bukau juga memberi kesukaran kepada kenderaan
penguatkuasa untuk memasuki kawasan tersebut.
"Namun operasi telah berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya
Menurut Saleh, operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang
melanggar peruntukan undang- undang negara seperti termaktub di bawah Akta
Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen
1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
2007.
"Jabatan Imigresen mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu Jabatan Imigresen dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat
tersebut," katanya.
Comentários