Ops Tapis Narkotik: Empat Lelaki Ditahan Positif Syabu di PPR Harmoni
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
12 Mac 2026
SANDAKAN: Bahagian Operasi Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Sandakan telah menahan empat orang lelaki, termasuk seorang warga asing, dalam satu serbuan Ops Tapis Narkotik di sekitar Kawasan PPR Taman Harmoni, Batu 3 di sini pagi semalam. Hasil ujian saringan air kencing awal mendapati kesemua suspek positif dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine (Syabu).
Dalam operasi yang bermula pada jam 11:45 pagi itu, pasukan BSJND telah menahan tiga orang lelaki warganegara tempatan di lokasi berkenaan. Seorang daripada mereka ditahan kerana kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2) Akdadb 1952, manakala dua lagi disyaki memasukkan dadah ke dalam badan.
Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk ujian saringan awal air kencing, dan keputusan mendapati mereka positif dadah jenis syabu.

Pada jam 4:30 petang hari yang sama, satu lagi tangkapan dilakukan di pejabat BSJND terhadap seorang lelaki warganegara asing yang turut disyaki memasukkan dadah ke dalam badan. Hasil ujian saringan terhadap suspek tersebut juga mengesahkan positif dadah jenis yang sama.
Kesemua suspek yang kini ditahan di Lokap IPD Sandakan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengesan dadah dalam badan. Suspek yang memiliki dadah turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akdadb 1952.
Operasi bersepadu ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dan tekad Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) George Abd Rakman, dalam membanteras gejala pengedaran dan penagihan dadah di Daerah Sandakan demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.











