Orang ramai dijemput hadir Majlis Kesyukuran Ulang Tahun TYT Sabah
- nabalunews
- Mar 26
- 1 min read

26 Mac 2026
KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput menghadiri Majlis Kesyukuran, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-75, Tun Musa Aman.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir berkata, majlis berkenaan akan diadakan esok (27 Mac) di Masjid Negeri Sabah bermula 11.40 pagi.
Menurutnya, program akan dimulakan dengan bacaan Yasin, diikuti tahlil serta doa kesyukuran sebelum diteruskan dengan solat Jumaat dan solat hajat secara berjemaah.
“Doa selamat dan solat hajat merupakan antara amalan yang sering dilakukan bagi memohon keberkatan, perlindungan serta kesejahteraan daripada Allah SWT.
“Dalam konteks ini, ia mencerminkan doa rakyat kepada pemimpin negeri agar sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan serta terus memimpin dengan hikmah,” katanya ketika ditemui media selepas ditemu bual di Sabah FM, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa program memaklumkan, Tun Musa Aman dijadualkan menyertai majlis berkenaan bersama barisan kepimpinan negeri.
Tambah Awang Juri, majlis sama turut dilaksanakan di peringkat daerah pada malam ini dengan pengisian bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat selepas solat fardu Isyak.
“Kita berharap penganjuran majlis ini dapat memperkukuh nilai spiritual dalam kalangan masyarakat, di samping menyemai rasa kesyukuran dan kebersamaan,” ujarnya.
Katanya lagi, keseluruhan pengisian program dirangka bagi memastikan majlis berlangsung dalam suasana tenang, tertib dan penuh penghayatan selari dengan tujuan penganjurannya.















Comments