Orang ramai dijemput hadiri Rumah Terbuka Krismas dan Sambutan Tahun Baharu 2026 Kadamaian, Tuaran dan Penampang
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

2 Januari 2026
KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput menghadiri dan memeriahkan sambutan majlis Rumah Terbuka Krismas dan Sambutan Tahun Baharu 2026 Kadamaian, Tuaran dan Penampang pada 3, 4 dan 5 Januari ini.
Majlis itu akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah Datuk Ewon Benedick.
Bagi Kadamaian Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2026 akan diadakan pada 5 Januari ini di Dewan Kadamaian Square Taginambur, Kota Belud.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan Masyarakat dan pemimpin, selain menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan.
Selain itu katanya, orang ramai juga berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan MINDET dan agensi-agensi di bawah kementerian ini.
“Agensi-agensi, jabatan-jabatan dan syarikat berkaitan Kerajaan Sabah di bawah portfolio MINDET akan mengadakan pameran perkhidmatan sempena majlis ini bagi memperkenalkan peranan serta inisiatif mereka kepada warga Kadamaian,” katanya.
Majlis ini akan dimeriahkan dengan persembahan daripada artis jemputan iaitu Rey Kimara, Felix Agus, S. Welly, Melinda Rise The Star serta Baby Camellia, Naib Juara Unduk Ngadau Kaamatan UPKO Negeri dan Juara KDCA Kota Belud.
Persembahan koir pula akan disertai Persatuan Wanita SIB Kawasan Taginambur, SDA Rangalau, St Edmund Kota Belud dan SIB Piasau.
Dalam pada itu, selaku Presiden UPKO, Ewon turut menjemput orang ramai menghadiri Rumah Terbuka Krismas dan Sambutan Tahun Baharu 2026 Parti UPKO yang akan dihoskan oleh UPKO Bahagian Tuaran di bawah pimpinan Ahli Parlimen Tuaran merangkap ADUN Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Majlis itu akan diadakan pada Ahad, 4 Januari, di Dewan Seri Sulaman, Tuaran bermula jam 1.00 tengah hari.
Selain itu, sebagai Ahli Parlimen Penampang, Ewon bersama ADUN Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin turut menjemput masyarakat menghadiri Sambutan Kesyukuran Krismas dan Tahun Baharu 2026 yang akan diadakan pada Sabtu, 3 Januari 2026, di Dewan Tamu Desa Kg Ramayah, Penampang bermula jam 10.00 pagi.
Orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat dijemput hadir bagi memeriahkan ketiga-tiga majlis ini dalam semangat perpaduan, kekeluargaan dan keharmonian masyarakat Sabah.














