Orang ramai dijemput jayakan Kempen Derma Darah di Pekan Inanam esok (31 Ogos)
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Orang ramai dijemput jayakan Kempen Derma Darah di Pekan Inanam esok (31 Ogos)


30 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Masyarakat diseru supaya terus memberikan sokongan kempen derma darah yang dianjurkan pelbagai pihak di negeri ini.


Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Inanam, Datuk Wong Thien Fook berkata, bagi penduduk sekitar Inanam, Kempen Derma Darah akan diadakan di Pekan Inanam pada Rabu ini (31 Ogos) sempena sambutan Hari Kwbangsaan.


Beliau berharap usaha murni ini mendapat sambutan menggalakkan dan sekaligus membantu menambah keperluan darah di semua Unit Tabung Darah hospital di negeri ini.

Datuk Wong Thien Fook.

“Kempen ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Tabung Darah Hospital Kudat dan Persatuan Thalassaemia Sabah, Pertubuhan Orang Asal Sabah serta Persatuan Bulan Sabit Merah, Cawangan Kota Kinabalu,” katanya.


Beliau berkata, selain mendapatkan bekalan darah, kempen berkenaan juga memberi peluang kepada orang ramai memeriksa tahap kesihatan masing-masing.


“Menerusi program itu, ia bukan saja dapat meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah tetapi juga memberi penerangan mengenai Vaksin Covid-19.


“Orang ramai yang ingin menderma darah tidak perlu risau kerana proses menderma darah dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.


Wong turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak termasuk Teck Guan Trading Sdn Bhd, Kim Teck Cheong Consolidated Bhd, Dong Sin Sdn Bhd dan Comogo Sdn Bhd yang telah menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program ini.


“Sumbangan yang diterima ini akan diedarkan kepada penderma yang hadir semasa program berkenaan dijalankan,” katanya.

bottom of page