ORANG RAMAI PERLU DILATIH CARA GUNA PAD, CPR UNTUK SELAMATKAN NYAWA
- nabalunews
- Oct 23, 2020
- 1 min read

23 OKTOBER 2020
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap lebih ramai orang awam dapat dilatih menggunakan alat Public Access Defibrillator (PAD) yang dipasang di tempat awam di negeri ini atau mempunyai kemahiran dalam bantuan awal kecemasan agar dapat menyelamatkan nyawa.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pemasangan PAD adalah langkah pertama ke arah usaha positif itu tetapi orang awam juga perlu dilatih dengan baik untuk menggunakan PAD atau terlatih dalam bantuan awal kecemasan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR).
“Beberapa minit pertama jantung terhenti mengejut (SCA) adalah paling penting untuk menyelamatkan mangsa. Keperluan untuk mendidik masyarakat mengenai teknik asas menyelamatkan nyawa ini adalah sangat penting dan tidak boleh diabaikan.
“Sehingga kini lebih 100 PAD telah dipasang di tempat awam di seluruh Pulau Pinang seperti di sekolah, taman awam, Bukit Bendera, bangunan kerajaan dan awam tetapi kita harus ingat bahawa ini tidak akan mencukupi untuk menyelamatkan nyawa jika majoriti daripada kita tidak dilatih menggunakan PAD atau tidak mahir teknik CPR,” katanya semasa melancarkan PAD di Seh Tek Tong Cheah Kongsi di sini hari ini.
Chow berkata Pulau Pinang adalah negeri pertama yang memulakan program Penang Heart Safe yang turut menganjurkan acara karnival CPR bertujuan mengajar orang ramai asas CPR dan kaedah betul untuk menyelamatkan seseorang sementara menunggu ketibaan paramedik.
Bagaimanapun, Chow berkata penganjuran Karnival CPR tahun ini ditunda ke tarikh yang belum ditetapkan kerana pandemik COVID-19. - Bernama















Comments