Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah sudah dipinda, harus ada satu badan pengurusan kampung sahaja: Ewon
top of page
  • nabalunews

Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah sudah dipinda, harus ada satu badan pengurusan kampung sahaja: Ewon

18 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Sabah mempunyai Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang sudah dipinda untuk pentadbiran kampung dan seharusnya hanya satu badan pengurusan kampung di negeri ini.


Beliau berkata, Ordinan Pentadbiran Luar Bandar itu telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di mana hanya ada satu pentadbiran kampung iaitu JKKK yang diiktiraf yang dilantik oleh kerajaan negeri.


“Sekiranya ia merupakan satu dasar negara, maka ia harus dilaksanakan di seluruh negara, tetapi di Sarawak dan beberapa negeri lain di Semenanjung ianya tidak dilaksanakan.


“Oleh itu, saya telah menjelaskan pandangan saya yang cukup tegas, tidak setuju tentang penubuhan JKKP apabila ia dibangkitkan di kabinet. Saya percaya keputusan pada ketika itu cadangan tersebut haruslah dirunding dengan kerajaan negeri. Jadi saya tidak tahu kenapa ia masih diteruskan.


“Saya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada kementerian yang berkenaan dan saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri sama ada ia dirujuk tentang penubuhan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang, di Padang B, Kompleks Sukan Penampang, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) percaya, penubuhan JKDM lebih kepada inisiatif parti politik dan tidak melalui wakil-wakil rakyat.


“Contohnya di Moyog, saya tidak pernah dibawa berbincang. Begitu juga di Kadamaian, saya tidak akan menghantar senarai bagi kawasan DUN Kadamaian kerana ini pendirian saya iaitu tidak harus ada satu pentadbiran JKKP yang kedua dalam satu satu kampung di Sabah.


“Sebagai wakil rakyat dari Sabah, dan walaupun mempunyai kementerian persekutuan, saya tetap berpendirian bahawa tidak harus ada JKKP di Sabah,” katanya.


Ewon menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan pewujudan JKKP di Sabah.


“Pandangan dan pendirian saya sudah direkodkan dengan jelas dalam perbincangan kabinet dan pendirian saya tidak berubah sejak saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.


“Pada ketika itu juga ada usaha untuk menubuhkan MPKK Persekutuan, saya menyatakan bantahan dan pendirian saya kekal sehinga hari ini,” katanya.


“Pada saya dan UPKO, harus ada satu institusi pentadbiran kampung mengikut ordinan yang telah diluluskan di DUN iaitu Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang telah diluluskan dan dipinda pada sidang DUN Januari lepas,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page