Pacu Adrenalin, Menelusuri Keindahan Dan Berakit Redah Jeram Kadamaian
- nabalunews
- 44 minutes ago
- 4 min read

21 Januari 2026
KOTA BELUD: Di sebalik kemegahan puncak Gunung Kinabalu dan kehijauan hutan hujan tropika Sabah, mengalir satu denyut nadi yang pantas dan penuh jiwa jeram-jeram sungainya.
Sabah bukan sekadar syurga untuk pendaki dan pencinta alam, ia juga merupakan gelanggang semula jadi untuk pengembaraan lasak yang mendebarkan hati.
Antara pengalaman yang paling mustahak untuk dicuba ialah Berakit Redah Jeram atau 'White Water Rafting', satu aktiviti yang menggabungkan kekuatan pasukan, ketangkasan fizikal dan renungan mendalam tentang kuasa alam.

Berakit redah jeram bukan sekadar sukan lasak, sebaliknya ia adalah perjalanan di mana anda bukan sekadar penonton, tetapi menjadi sebahagian daripada landskap dinamik Sabah.
Setiap dayungan adalah dialog dengan arus, setiap terusan melalui jeram adalah tarian terkawal dengan kekuatan air dan setiap hentian tenang adalah peluang untuk menyedut keindahan flora dan fauna yang mengelilingi sungai yang sempurna untuk aktiviti keluarga dengan menawarkan spektrum pengalaman yang luas.
Kini, muncul pula destinasi baharu yang sedang menarik perhatian Sungai Kadamaian dengan jeramnya yang menawarkan pengalaman unik dengan latar belakang pemandangan Gunung Kinabalu yang mempersonakan sekaligus membuktikan bahawa setiap sungai di bumi Sabah ini memiliki karakter dan ceritanya tersendiri.

Melalui artikel ini, penulis akan membawa anda menyelami dunia berakit redah jeram di Kadamaian. Dari asas keselamatan dan persiapan yang perlu, hingga ke sensasi sebenar mengharungi jeram dari keunikan setiap titik jeram hingga ke kisah-kisah di sebalik kehebatan pemandu jeram (river guide) yang mahir.
Bersiaplah untuk memahami mengapa aktiviti ini lebih daripada sekadar pengembaraan ia adalah satu cara untuk berhubung dengan alam, menguji semangat kolektif dan mencipta kenangan yang sukar dilupakan di tengah-tengah alam semula jadi Borneo.
Mengintai Jeram-Jeram Berkarakter di Kadamaian

Pengusaha Taginambur Homestay, Bob Mckenzie Robert Meisin, merupakan individu yang bergiat aktif dalam aktiviti berakit di Sungai Kadamaian yang menawarkan dua pakej berakit utama iaitu jarak dekat dan jarak jauh.
Bob menjelaskan, Sungai Kadamaian pada dasarnya berada di tahap 1 dan 2 di mana ia sesuai untuk peminat 'beginner'.
“Sungai adalah alam semulajadi yang dinamik dan kalau level air sungai tinggi dan besar, ia boleh mencapai tahap 3 atau 4 di beberapa ‘point’,.

“Perubahan drastik ini biasanya berlaku ketika musim hujan lebat dan selepas banjir, di mana tenaga sungai bertukar menjadi lebih ganas dan mencabar.
“Pengetahuan mendalam pemandu jeram tentang perubahan kondisi ini adalah kunci keselamatan mutlak,” katanya.
Untuk kali ini, penulis memilih untuk meneroka laluan yang lebih mencabar laluan jarak jauh sejauh 9 kilometer.
Perjalanan ini bermula di Kampung Lingkubang dan berakhir di Kampung Taginambur Batu 10, merentasi jantung jeram Kadamaian.
Sepanjang perjalanan mendebarkan itu, peserta akan melalui beberapa 'point' atau titik jeram yang telah diberikan nama-nama khas.
Setiap nama bukan sekadar label, tetapi mencerminkan karakter dan cabaran unik yang bakal ditempuhi, menguji bukan hanya fizikal, tetapi juga semangat kolektif.
The Curve Point / Titik Lekuk
Sebuah selekoh atau belokan tajam di dalam sungai di mana arus deras mendorong rakit mengikut lekukan sungai. Memerlukan panduan yang tepat untuk mengelak daripada terhanyut atau terbalik.
Di sini, kerjasama erat antara pemandu jeram dan dayungan serentak peserta adalah kunci untuk membelok dengan selamat.
The Wall Point / Titik Tembok
Sebuah kawasan di mana air deras melanggar secara tegak atau hampir tegak pada dinding batu besar atau tebing sungai. Pemacu rakit perlu mengarahkan rakit menjauhi "tembok" ini dengan pantas untuk mengelakkan perlanggaran yang boleh menyebabkan rakit terbalik.
Jeritan pasti akan terlepas menyaksikan kejar-mengejar antara hujung rakit dengan dinding batu itu.
Sudden Tigok-Tigok Rapids / Jeram Tiba-tiba
Siri jeram yang muncul secara mengejut atau tidak diduga, lazimnya selepas kawasan air yang tenang. Nama "tigok-tigok" (terkejut) menggambarkan rasa kejutan dan lonjakan adrenalin ketika rakit tiba-tiba dihempas ke dalam kawasan bergelora ini tanpa amaran.
Merry Go Round / Pusaran
Sebuah kawasan di mana pusaran air sangat mencabar sehinggakan ia memerlukan dayungan yang kuat, berkoordinasi dan berpandu arah. Jika tidak, rakit akan berpusing-pusing seolah-olah ditarik masuk ke dalam pusaran tarian air.
Willy Rapids / Jeram Geli-geli
Jeram yang menyebabkan sensasi seperti ketika menaiki roller coaster. Nama ini menggambarkan perasaan rakit dilambung-lambung secara terus.
The Rock Point / Titik Batu
Sebuah kawasan tertentu di sungai yang terkenal dengan kehadiran batu besar yang menonjol atau tersembunyi di bawah permukaan air.
Pengawasan yang teliti dan arahan yang jelas daripada pemandu jeram diperlukan untuk mengemudi rakit melalui laluan yang selamat di antara 'raksasa-raksasa' batu yang diam itu.
Kiss the Rock / Cium Batu
Sebuah formasi batu atau ceruk di tebing sungai yang begitu rapat dengan laluan rakit, sehingga peserta terpaksa menyandar atau "mencium" batu tepi sungai.
Setiap satunya menawarkan sensasi dan cerita yang berbeza, disatukan oleh pengalaman mengayuh, gemuruh dan hilai tawa di tengah-tengah keindahan alam Kadamaian.
Inilah yang menjadikan Berakit Redah Jeram di sini bukan sekadar aktiviti, tetapi sebuah pengalaman peribadi yang penuh dengan aksi, gurauan dan kepuasan yang sukar dilupakan.
Kunci Pengembaraan yang Selamat dan Menyeronokkan
Pengalaman yang mendebarkan harus berjalan seiring dengan keselamatan. Berikut adalah beberapa panduan penting berdasarkan pengetahuan dari pengusaha dan pemandu tempatan:
Pilih Operator yang Sah dan Berpengalaman: Pastikan anda menggunakan khidmat operator rasmi seperti Xtreme Paddlers atau yang disyorkan oleh homestay tempatan (contohnya Taginambur Homestay).
Pemandu jeram mereka biasanya bersertifikat dan sangat arif tentang karakter setiap inci Sungai Kadamaian terutamanya dalam menilai kondisi air yang boleh berubah.
Dengar Briefing Keselamatan dengan Teliti: Sebelum turun ke sungai, pemandu akan memberikan taklimat keselamatan. Fokus dan ikuti setiap arahan tentang cara mendayung, posisi duduk yang selamat dan apa yang perlu dilakukan jika terjatuh atau rakit terbalik. “Jangan malu untuk bertanya”.
Jadi, adakah anda sudah siap untuk menerima cabaran dan mencipta cerita pengembaraan anda sendiri di jeram Kadamaian?
Kepada yang berminat boleh hubungi pengusaha Taginambur Homestay.:
Bob : 012-8311048
Dan : 011-51388398














