PADU capai 100,000 pendaftaran dalam sehari
- Wartawan Nabalu News
- Jan 3, 2024
- 1 min read

3 Januari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan semalam telah mencatatkan lebih 100,000 pendaftaran dalam tempoh kurang 24 jam, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata, ini menunjukkan minat dan kesedaran rakyat Malaysia terhadap sistem PADU yang bertujuan mengintegrasikan dan menyelaraskan pelbagai pangkalan data di peringkat Kerajaan.
"Setakat ini, kita telah mencapai lebih 100,000 para pengguna yang berjaya mendaftar dalam sistem PADU, ini dilakukan majoritinya secara kendiri atas talian," katanya ketika di temubual pada Rabu di AWANI Pagi.
Tambah beliau, cabarannya ketika ini adalah bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir dalam tempoh tiga bulan pendaftaran ini dibuka.
"Antara cabaran yang kita lihat adalah bagaimana kita dapat pastikan pendaftaran dapat dilakukan semaksimum mungkin sehingga 100 peratus rakyat Malaysia.
"Dan untuk kita mencapai perkara ini adalah kita perlu berada di seluruh pelusuk negara terutama kawasan luar bandar dan jauh dari kemudahan dan fasiliti yang mempunyai ketersambungan internet," jelasnya.
Beliau juga berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri di seluruh negara telah merancang pelaksanaan pengoperasiannya dengan kerjasama agensi berkaitan.
"Untuk makluman, seawal dilancarkan semalam, kita telah pun bersama-sama dengan Pusat Ekonomi Digital di 911 pejabat seluruh negara, 44 DOSM negeri dan daerah termasuk 27 Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara akan mengerakkan kemudahan Starlink bagi menjayakan pendaftaran ini.
"Ini kerana prinsip dan pendekatan paperless akan digunakan bagi memastikan maklumat terus masuk ke dalam sistem," jelasnya lagi.
DOSM menyasarkan 29 juta warganegara Malaysia mendaftar di dalam sistem PADU yang dibuka bermula 2 Januari sehingga 31 Mac 2024.
Comments