Paip Graviti Pecah Akibat Tanah Runtuh, Gotong-Royong Dilaksanakan Di Kampung Dimala Piasau
- nabalunews
- Mar 11
- 1 min read

11 Mac 2025
KOTA BELUD: Komuniti Kampung Dimala Piasau di Kota Belud telah berganding bahu dalam program gotong-royong menggantikan paip graviti yang rosak di kawasan tadahan air pada 9 Mac lalu. Inisiatif ini dilakukan susulan kerosakan serius pada sistem paip akibat runtuhan batu besar yang berpunca daripada tanah runtuh.
Pengerusi Paip Graviti Kampung Dimala, Donny Ginsu, memaklumkan bahawa keputusan untuk mengadakan gotong-royong ini dibuat bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Piasau. Langkah ini penting kerana lebih daripada 40 rumah bergantung kepada sistem paip graviti tersebut sebagai sumber air utama mereka.
Menurut Pengerusi JKKK Kampung Piasau, Jolyhame Saran, pihaknya menerima aduan mengenai kerosakan paip itu dan segera bertindak untuk mendapatkan bantuan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang telah menyumbangkan polypaip bagi menggantikan paip yang pecah.

Pihak jawatankuasa paip mendapati bahawa sekurang-kurangnya tiga gulung lagi polypaip diperlukan untuk memastikan penggantian sistem paip yang usang dapat disempurnakan sepenuhnya.
Jolyhame berharap agar permintaan ini dapat dipenuhi bagi memastikan kelangsungan bekalan air kepada komuniti setempat.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar tiga telaga yang sedia ada di kampung tersebut dinaik taraf kepada telaga tiub. Langkah ini dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan air bersih yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
Penduduk kampung Dimala berharap agar inisiatif ini mendapat perhatian pihak berwajib agar kemudahan asas seperti air bersih dapat disalurkan dengan lebih baik, sekaligus meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Comments