top of page

Pakaian Memaparkan Gambar atau Simbol Parti Tidak Dibenarkan

  • nabalunews
  • 40 minutes ago
  • 1 min read

ree

28 November 2025


KOTA KINABALU: Orang ramai termasuk calon dan petugas dilarang memakai pakaian yang memaparkan gambar atau simbol politik di Pusat Mengundi sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah, Sabtu ini.


Larangan berkenaan meliputi baju, topi, pelitup separuh muka atau facemask atau material lain yang dibawa ke Pusat Mengundi.


Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata larangan turut merangkumi sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.


Katanya, kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya.


“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.


“Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Khairul Shahril berkata, pengundi juga dilarang menggunakan telefon bimbit di tempat mengundi atau saluran di semua Pusat Mengundi.


“SPR mengingatkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan. Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.


“SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.


“Pelaksanaan tatacara pengundian yang baharu ini boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya. Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page