Pakatan politik Kerajaan Perpaduan meterai perjanjian persefahaman
top of page
  • Farah Salim

Pakatan politik Kerajaan Perpaduan meterai perjanjian persefahaman

16 Disember 2022

Oleh Farah Salim


PUTRAJAYA: Lima gabungan politik utama di negara ini yang membentuk Kerajaan Perpaduan memeterai perjanjian persefahaman kerjasama bagi menjamin kestabilan politik, pembaharuan dan perpaduan, di sini, hari ini.


Parti-parti politik itu ialah - Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).


Perjanjian itu dimeterai Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung GRS Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr.


Perjanjian itu disaksikan oleh semua pengerusi gabungan parti iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang turut menandatangani perjanjian itu.


Berdasarkan dokumen perjanjian persefahaman kerjasama yang dikongsi kepada pihak media, mandat daripada pengundi-pengundi Malaysia dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu, tiada satu pun parti memenangi kerusi parlimen yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuannya sendiri.


Keputusan PRU15 menyaksikan PH memenangi sebanyak 82 kerusi, BN (30), GPS (23), GRS (6), WARISAN (3), dan parti-parti lain seperti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan calon-calon bebas dengan secara kumulatif kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PH, BN, GPS, GRS, WARISAN, PBM, KDM mempunyai dua ahli parlimen bebas telah mencecah 148 ataupun dua pertiga daripada jumlah ahli Dewan Rakyat, menurut dokumen itu.


Perjanjian persefahaman itu turut ditandatangani PBM dan KDM serta calon-calon bebas yang secara kumulatif membentuk dua pertiga daripada jumlah ahli Dewan Rakyat.


Anwar dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan turut menyifatkan perjanjian itu sebagai amat bermakna dalam sejarah politik tanah air.


“Kita capai persefahaman atau muafakat dengan hala tuju jelas membangun negara, menjamin supaya sistem stabil dan tumpu perhatian untuk mengangkat martabat negara kita sebagai negara yang maju,” katanya menurut laporan Bernama.


Anwar berkata perjanjian yang disepakati itu tidak memperlihatkan soal kedudukan dan habuan sebaliknya menjurus kepada soal prinsip serta dasar berkaitan tata kelola yang baik.


“Ini tidak boleh dicapai tanpa kerjasama rakan pimpinan parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Saya ingin jelaskan yang disepakati bukan soal kedudukan atau habuan,” katanya.


Beliau percaya perjanjian persefahaman itu akan membolehkan kerajaan perpaduan menjadi satu pasukan yang mantap dalam mendepani apa jua permasalahan termasuk di parlimen.


“Saya telah diberikan kepercayaan serta terharu dengan bentuk sokongan dan juga komitmen bersama sebagai satu pasukan mantap (di bawah) kerajaan perpaduan.


“Ini akan membolehkan kita menghadapi apa jua permasalahan di parlimen dan di luar dengan satu suara iaitu Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page