Pakej 5G RAHMAH tawar telefon pintar dan data murah Pakej 5G RAHMAH tawar telefon pintar dan data murah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pakej 5G RAHMAH tawar telefon pintar dan data murah


30 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Bermula 31 Ogos ini, rakyat Malaysia boleh menikmati pakej 5G RAHMAH yang menawarkan telefon pintar dan pelan data dengan harga berpatutan.


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pakej tersebut melibatkan telefon pintar jenama Samsung A14 5G atau Honor 90 Lite 5G berharga tidak melebihi RM240 berserta pelan pascabayar serendah RM60 sebulan dengan data minimum 60GB.


"Pakej 5G RAHMAH ini adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa had pembelian," katanya ketika melancarkan pakej tersebut di sini hari ini.


Beliau berkata, pihak telco amat digalakkan menyediakan tawaran yang lebih baik daripada spesifikasi asas pakej tersebut.


"Sebagai contoh telco boleh menyediakan harga telefon pintar yang lebih rendah daripada RM240 atau bayaran bulanan pelan pascabayar yang lebih rendah daripada RM60 atau kuota data yang lebih banyak daripada 60GB sebulan," katanya.


Beliau turut mengumumkan bahawa golongan B40 akan mendapat subsidi RM120 untuk telefon pintar bagi 100,000 pelanggan terawal yang melanggan pakej tersebut.


"Sebagai contoh, bagi telefon pintar berharga RM240, pelanggan yang layak hanya perlu membayar RM120 bagi telefon pintar itu. Sekiranya telco menyediakan telefon pintar pada harga yang lebih rendah daripada harga RM240, misalnya RM200, harga yang perlu dibayar oleh pelanggan setelah ditolak subsidi adalah sebanyak RM80 sahaja," katanya.


Selain itu, Fahmi juga mengumumkan insentif pascabayar RAHMAH Penjawat Awam melibatkan rebat RM10 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi pakej pascabayar bernilai RM60 dan ke atas, yang akan bermula 16 Sept ini.


"Insentif ini adalah buat penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan serta tertakluk kepada terma dan syarat daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat," katanya.


Fahmi berkata, pakej serta insentif yang diumumkan itu merupakan manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan Perpaduan terhadap rakyat dengan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes) serta syarikat pengeluar telefon iaitu Samsung Malaysia Electronics dan Honor Malaysia.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page