top of page

Parkir, laluan Jalan Padang ditutup berkala sempena sambutan Krismas peringkat negeri

  • nabalunews
  • 46 minutes ago
  • 1 min read

ree

15 Disember 2025


KOTA KINABALU: Laluan dan tempat letak kereta di sepanjang Jalan Padang berhampiran Padang Merdeka akan ditutup secara berkala sempena sambutan Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025, bermula esok hingga 19 Disember ini.


Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi notis maklumannya, berkata penutupan itu dilaksanakan bagi memberi laluan serta memastikan kelancaran penganjuran perayaan selama empat hari yang melibatkan beberapa acara utama, termasuk majlis perasmian pada 16 Disember.


“Penutupan Jalan Padang akan melibatkan laluan dari gerbang Jalan Istana hingga ke gerbang Padang Merdeka, bermula jam 5 petang hingga 10 malam sepanjang tempoh berkenaan.


“Selain itu, tempat letak kereta di tapak perpustakaan lama, Jalan Padang serta sebahagian terminal sementara Jalan Padang turut ditutup dari 1 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh penganjuran,” menurut notis itu.


Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan anggota penguat kuasa bertugas dan menggunakan laluan alternatif bagi tujuan kelancaran trafik serta keselamatan semua pihak.


Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 bertemakan “Pengharapan Damai Dalam Kasih” itu dianjurkan kerajaan negeri menerusi kerjasama DBKK serta Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC).


Ia dijangka menarik ribuan pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya dengan pelbagai pengisian pentas yang menarik termasuk persembahan artis dan komuniti tempatan.


Turut diadakan ialah Jamuan Rakyat melibatkan 100 usahawan dari kalangan penjaja tempatan yang akan menjadi pembekal pelbagai juadah jamuan sebagai sokongan Kerajaan kepada perusahaan mikro dan kecil.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page