Parti Politik Tempatan Tanding Bersendirian, Tidak Selari Dengan Keperluan Rakyat
- nabalunews
- Jul 19, 2025
- 2 min read

19 Julai 2025
KIULU: Pendirian parti-parti politik tempatan yang memilih untuk bertanding bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak selari dengan keperluan rakyat yang mahukan kestabilan serta kerjasama mantap antara parti tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendekatan bersatu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan keberkesanannya dalam mentadbir negeri secara inklusif.
Katanya, gabungan ini lebih stabil dan berfokus kepada pembangunan jangka panjang.
“Kerajaan GRS kini mengorak langkah seperti kerajaan GPS di Sarawak yang dibentuk oleh parti-parti tempatan yang mewakili semua kaum, pendekatan inilah yang terbaik untuk Sabah.
“Kalau kita melihat Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) mempunyai majoriti jelas tetapi tetap memilih untuk bekerjasama dengan parti-parti lain untuk bersama-sama membangunkan sosio-ekonomi Sarawak. Bukan bersendirian,” katanya.
Joniston, yang merupakan ketua penerangan GRS dan PBS, berkata demikian pada Majlis Papawantai Taasok dan Majlis Pemimpin Bersama Raykat Mukim Lembah di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pengumuman parti Warisan dan PKDM untuk bertanding bersendirian, Joniston menyifatkannya sebagai taktikal politik yang menggambarkan hala tuju politik yang kurang konsisten dengan aspirasi rakyat Sabah.
“Kita tidak menolak hak mana-mana pihak untuk bertanding bersendirian, tetapi pada akhirnya rakyat menilai hasil.
“kestabilan hanya dapat dicapai apabila parti-parti tempatan memilih untuk bekerjasama, bukan bersaing sesama sendiri.
“Kalau benar-benar mahu membawa pendekatan matang, ia mesti disusuli dengan kesanggupan untuk bekerjasama dan bertolak ansur, bukan bergerak sendirian dan menafikan kekuatan kolektif,” katanya.
Joniston turut mengingatkan bagaimana Warisan dan PKDM sebelum ini sanggup bersubahat dengan UMNO dalam cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, ia jelas menunjukkan keutamaan diberikan kepada kepentingan politik peribadi berbanding kestabilan negeri.
“Tindakan seperti ini tidak mencerminkan kepimpinan yang memikirkan rakyat, sebaliknya hanya menjejaskan keyakinan umum dan mengganggu tumpuan terhadap agenda pembangunan,” katanya.
Menurutnya, pentadbiran GRS yang dipimpin oleh Hajiji telah membuktikan bahawa gabungan parti-parti tempatan mampu berfungsi dengan baik, malah membawa banyak pencapaian seperti peningkatan rizab negeri dan pelaksanaan inisiatif kebajikan.
Sementara itu, di kawasan Kiulu, Joniston berkata pembangunan luar bandar terus dipacu menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk projek naik taraf jalan pertanian untuk memastikan akses yang lebih baik ke kebun dan kampung terpencil.
“Kita sedar masih banyak yang perlu dilakukan, dan kita tidak menafikan wujudnya cabaran seperti air, elektrik dan infrastruktur, namun kita ambil tanggungjawab sepenuhnya dan terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan yang telah membuktikan hasil kerja dan tidak terpengaruh dengan keputusan politik untuk kepentingan parti tertentu yang boleh menjejaskan kestabilan negeri.















Comments