top of page

Pasangan Ditahan Dalam OP Tapis IPD Tawau

  • nabalunews
  • 14 minutes ago
  • 1 min read

ree

22 November 2025


TAWAU: Polis menahan sepasang kekasih yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi operasi di Jalan Utara, Khamis lalu.


Dalam insiden kira-kira jam 10.30 malam itu, pasangan terbabit ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Tawau ketika menjalankan Op Tapis di sekitar lokasi berkenaan.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek yang menaiki pacuan empat roda berkenaan ditahan selepas dikesan memandu secara mencurigakan sebelum diberhentikan untuk pemeriksaan.


“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, pihak polis menemui satu beg plastik warna hitam mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu.


“Semua dadah berkenaan dianggarkan seberat 6.53 gram dengan nilai anggaran rampasan berjumlah RM653,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, hasil ujian saringan awal mendapati suspek lelaki berusia 33 tahun itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.


Manakala katanya, pasangannya iaitu seorang wanita berusia 26 tahun didapati negatif dari sebarang jenis dadah.


“Kedua-duanya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak mempunyai rekod lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.


Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah yang bukan sahaja memusnahkan masa depan, malah membuka ruang kepada kegiatan jenayah lain.


“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan atau pengedaran dadah.


“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing,” ujarnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page