top of page

Pasangan suami isteri didakwa 15 pertuduhan kemuka dokumen palsu babitkan tuntutan RM655,512

nabalunews
Junaidi (Kiri) dan Albina (kanan di belakang sekali) diiring SPRM ke kaunter pembayaran Mahkamah Tawau bagi menjelaskan wang jaminan.

17 Oktober 2024 


TAWAU: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini atas 15 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu membabitkan tuntutan bernilai RM655, 512 kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).


Dalam pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Junaidi Abdul Rahman, 63, dan isterinya, Albina Ogor Abdullah, 50, mengangguk faham pertuduhan dan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Anak Juga.


Susulan pengakuan tidak bersalah itu, mahkamah menetapkan tarikh 3 Disember ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu.


Mahkamah turut menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan deposit RM3, 000 kepada mahkamah bersama seorang penjamin tempatan bagi masing-masing tertuduh, serta membenarkan syarat-syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.


Junaidi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat terlibat, didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Delivery Ticket Petron Oil (M) Sdn Bhd untuk membuat tuntutan kepada SESB bagi pembayaran sejumlah 260,000 liter diesel ke Stesen Janakuasa Tawau.


Kesemua 15 kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen Janakuasa Tawau, Jalan Kuhara di antara 8 hingga 11 April 2013 yang menyebabkan SESB membayar sebanyak RM655, 512 kepada Syarikat Petrohub Corporation Sdn Bhd (PCSB), yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu semasa menggunakannya.


Sementara itu, Albina yang merupakan bekas Pegawai Eksekutif di syarikat tersebut berdepan 15 pertuduhan bersubahat dengan Junaidi melakukan kesalahan berkenaan.


Junaidi didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Manakala, Albina pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing tidak diwakili peguam.

Commenti


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page