Pasangan Suami Isteri Ditahan Bersama Dadah Bernilai RM21,000
- nabalunews
- 4 minutes ago
- 1 min read

11 Disember 2025
KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri ditahan selepas didapati membawa 302.08 gram dadah dalam serbuan di kawasan parkir, di Likas Plaza, di sini, malam Rabu.
Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berjaya merampas semua dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM21,000.
Ketua JSJN Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya cuba menahan kereta Perodua Aruz putih itu.
Bagaimanapun katanya, pemandu kenderaan yang menyedari kehadiran polis bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan dipercayai cuba meloloskan diri.
“Pasukan operasi terpaksa memecahkan cermin pintu kereta sebelum berjaya menahan pemandu kenderaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi berjaya menemui enam paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 302.08 gram yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Alhusin berkata, polis turut merampas dua telefon bimbit milik kedua-dua suspek bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Alhusin berkata, suspek lelaki berusia 31 tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, manakala isterinya berusia 27 tahun tidak mempunyai rekod jenayah.
"Kedua-duanya negatif hasil saringan awal air kencing dan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, operasi memerangi aktiviti pengedaran dadah akan dilaksanakan secara berterusan.
Katanya. orang ramai juga digesa supaya menyalurkan maklumat bagi membantu polis membanteras kegiatan jenayah narkotik di Sabah.


















Comments