top of page

PASAR, PUSAT HIBURAN, REFLEKSOLOGI DAN PANGGUNG WAYANG TIDAK DIBENARKAN SEPANJANG PKPB: MASIDI

  • Wartawan Nabalu News
  • Oct 15, 2020
  • 1 min read


15 OKTOBER 2020

OLEH WARTAWAN NABALU NEWS


KOTA KINABALU: Pasar malam, pasar tani, tamu, pusat-pusat hiburan dan pusat refleksologi dan rawatan muka tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata, pusat hiburan termasuk kelab malam, pub, panggung wayang dan aktiviti perjudian juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKPB.

“Kerajaan negeri banyak menerima pertanyaan daripada orang awam kerana terdapat kekeliruan terutamanya kebenaran beroperasi bagi semua sektor ekonomi, industri dan perniagaan

“Kekeliruan ini timbul kerana SOP PKPB yang dikeluarkan bagi daerah-daerah dalam zon merah sebelum ini hanya membenarkan perkhidmatan perlu (essential service) sahaja.

“Saya ingin menjelaskan bahawa SOP yang digunakan di seluruh Sabah ketika ini adalah berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh MKN bertarikh 14 Oktober. SOP sebelum ini tidak terpakai kecuali SOP PKPD yang sedia ada untuk 10 lokaliti yang sedang melaksanakan PKPD,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Masidi turut memaklumkan bahawa para peniaga dalam sektor ekonomi, industri dan perniagaan tidak perlu lagi memohon kebenaran kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19) untuk kebenaran beroperasi.

“Selaras dengan pelaksanaan PKPB di seluruh Sabah bermula 13 Oktober, maka semua arahan sebelum ini yang melibatkan PKPB di 11 daerah adalah dengan sendirinya terbatal,” katanya.

Mengenai bantuan bakul makanan, beliau berkata, ia berjalan lancar dan sehingga hari ini 26,178 bakul makanan diagihkan kepada golongan sasar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page