top of page

PDRM dan SKMM Kerjasama Pantau Media Sosial

  • nabalunews
  • Feb 14
  • 1 min read

14 Februari 2025


KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau sebarang kenyataan berkaitan isu sensitif di media sosial.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tindakan itu bagi menangani sebarang isu sensitif di media sosial yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.


Katanya, pengguna media sosial diharap supaya sentiasa bertanggungjawab dengan kandungan yang dimuat naik dalam platform media sosial.


“Pengguna yang menyiarkan sesuatu tanpa mengambil kira risiko kepada ketenteraman awam, ia adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.


“Sekiranya kenyataan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ataupun adanya eleman jenayah, pihak polis juga tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan serta tindakan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pertama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.


Jauteh berkata, pihak polis menyeru masyarakat supaya tidak mengutamakan kepentingan peribadi semata-mata.


"Untuk menangani isu di media sosial yang semakin membimbangkan, PDRM akan berkerjasama dengan pihak SKMM,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page