PDRM Lancar Kempen Kesedaran Aplikasi VSP, Jadi 'Mata dan Telinga' Polis di Komuniti

Oleh : Romie Stanley DGuns
16 Mac 2026
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan kempen kesedaran bagi mempromosikan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam usaha meningkatkan penglibatan masyarakat terhadap keselamatan komuniti di Kota Kinabalu.
Inisiatif strategik ini membolehkan orang awam menyalurkan maklumat serta melaporkan aktiviti jenayah dengan cepat, mudah dan pantas terus melalui aplikasi di telefon pintar masing-masing, sekaligus memperkukuhkan kerjasama antara polis dan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
Aplikasi VSP menyediakan platform kepada masyarakat untuk membuat pelbagai kategori laporan kesalahan termasuk kecurian, pecah rumah, curi kabel, aktiviti penyalahgunaan dadah, lumba haram, perjudian serta pemakluman "Balik Kampung" bagi tujuan pencegahan jenayah ketika musim perayaan. Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan pelbagai kesalahan jenayah yang lain melalui aplikasi berkenaan.
Menurut kenyataan PDRM, dengan aplikasi VSP, masyarakat dapat menyalurkan maklumat jenayah secara terus dan pantas kepada pihak polis tanpa perlu hadir secara fizikal di balai polis. Pihak PDRM menegaskan bahawa keselamatan komuniti adalah tanggungjawab bersama, justeru orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi VSP dan menjadi mata serta telinga keselamatan di kawasan masing-masing.
Sementara itu, JPJKK Komuniti Madani turut menyeru ahli komuniti agar lebih peka dan bertindak dengan memanfaatkan teknologi ini bagi menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Kerjasama erat antara PDRM dan komuniti setempat dilihat sebagai langkah proaktif dalam membanteras jenayah.
Orang ramai yang telah mendaftar sebagai ahli VSP turut berkongsi pengalaman positif, menyatakan bahawa kini segala urusan pelaporan berada di hujung jari dan mengajak lebih ramai masyarakat untuk turut mendaftar. PDRM menyeru seluruh masyarakat supaya segera mendaftar sebagai ahli VSP dan menjadikan diri mereka sebahagian daripada pasukan keselamatan komuniti.















Comments