top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pegawai Daerah diizinkan beri maklumat pembangunan kepada Wakil Rakyat bukan kerajaan


21 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pegawai Daerah di setiap daerah di Sabah diizinkan untuk membekalkan maklumat pembangunan dan penggunaan tanah kepada Wakil-Wakil Rakyat bukan kerajaan yang memerlukan maklumat tersebut.


Kenyataan tersebut diberikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim semasa menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick di sidang DUN pada hari ini.


Ewon bertanyakan soalan asal samada kerajaan negeri bercadang untuk melibatkan ADUN-ADUN bukan kerajaan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah dan Jawatankuas Pengurusan Bencana Daerah.


Jahid menjelaskan bahawa kerajaan negeri pada masa ini belum lagi membuat keputusan terhadap cadangan melibatkan Wakil-Wakil Rakyat bukan kerajaan dalam ketiga-tiga jawatankuasa tersebut tetapi akan meneruskan penelitian ke atas cadangan yang dikemukakan oleh Ewon tersebut.

Dalam soalan tambahan, Ewon bertanya samada kerajaan boleh melaksanakan dasar atau arahan pentadbiran bagi membolehkan Pegawai-Pegawai Daerah membekalkan maklumat kepada Wakil-Wakil Rakyat bukan kerajaan.


“Di dalam Dewan ini, kita sama-sama meluluskan belanjawan tahunan dan belanjawan tambahan. Alangkah baiknya jika sokongan yang sama boleh kami berikan kepada kerajaan di peringkat daerah.


“Sementara kerajaan meneruskan penelitian ke atas cadangan melibatkan Wakil-Wakil Rakyat dalam ketiga-tiga jawatankuasa ini, adakah Kerajaan boleh mengeluarkan dasar atau arahan pentadbiran kepada pegawai-pegawai daerah untuk membekalkan maklumat kepada kami terutama berkaitan dengan pembangunan dan penggunaan tanah di kawasan diwakili?


“Jika ini dibenarkan, maka saya percaya sebahagian besar soalan yang ingin dibangkitkan tidak perlu lagi dibawa ke sidang DUN kerana kita sudah mendapat maklumat tersebut di daerah,” kata Ewon.


Jahid kemudiannya menjawab bahawa kerajaan tiada halangan dan mengizinkan pegawai-pegawai daerah membekalkan maklumat yang diperlukan oleh Wakil-Wakil Rakyat bukan kerajaan berkaitan program pembangunan dan penggunaan tanah di kawasan diwakili masing-masing.


Beliau turut menyatakan bahawa Wakil-wakil Rakyat bukan kerajaan juga boleh mengadakan perjumpaan dengan pegawai daerah masing-masing untuk tujuan tersebut.

Commentaires


bottom of page