Peguam Keluarga Zara Qairina Mohon Tangguh Pendakwaan Esok
- nabalunews
- Aug 19, 2025
- 2 min read

19 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Barisan peguam mewakili keluarga Zara Qairina Mahathir memohon kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar menangguhkan pendakwaan terhadap lima remaja terbabit buat sementara waktu.
Peguamnya, Hamid Ismail berkata, pendakwaan sepatutnya dibuat selepas prosiding inkues selesai untuk membolehkan pertuduhan lebih berat dikenakan.
Katanya, sekiranya prosiding inkues September depan menemui keterangan yang boleh membuktikan kesalahan lebih berat, pihaknya bimbang semua tertuduh tidak boleh didakwa buat kali kedua atas dasar perbicaraan berulang.
“Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.
“Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara dapat menangguhkan pendakwaan tersebut buat sementara waktu,” katanya dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan, hari ini.
Hamid berkata, mereka turut memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika.
“Namun sekiranya keterangan yang ada sekarang dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa semua remaja di atas bagi kesalahan yang lebih berat dari Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami merayu agar mereka didakwa bagi kesalahan yang lebih berat itu.
“Sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah.
“Kemudian, apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Kesalahan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar DOUBLE JEOPARDY yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, bagi tujuan itu, pihaknya telah menulis surat kepada Peguam Negara pada pagi ini dan dihantar melalui emel.















Comments