top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pejabat Parlimen Penampang pantau tindakan pihak berwajib selesaikan masalah air di Taman Penampang

26 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, Pejabat Khidmat Parlimen Penampang akan memantau tindakan pihak berwajib menyelesaikan masalah air di Taman Penampang.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ini berikutan aduan masalah air di kawasan perumahan Taman Suria dan Taman Penampang.


“Pejabat Pusat Khidmat saya telah menerima aduan itu dan mereka telah mengambil tindakan berbincang dengan Jabatan Air dan syarikat pengurusan perumahan berkenaan.


“Di peringkat Jabatan Air, saya telah dimaklumkan bahawa tidak ada isu bekalan air daripada paip ke tangki perumahan.


“Ada beberapa isu teknikal daripada tangki itu ke unit-unit rumah di Taman Suria dan Taman Penampang. Kita harus maklum bahawa setiap unit ada management dan perlu membayar yuran itu untuk menyelesaikan dan membaiki kebocoran-kebocoran,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-Ketua Kampung Cemerlang Siri 8 tahun 2023, Daerah Penampang, di Dewan Kuliah ILMAN, di sini, semalam.


Ewon berkata, sekiranya perkara itu belum selesai dalam tempoh terdekat, beliau akan ‘campur tangan’ untuk membantu mempermudahkan penyelesaian masalah itu.


“Pada saya Jabatan Air, management company dan pemilik kediaman ada tanggungjawab masing-masing. Ketika ini Pejabat Khidmat Parlimen dan saya memudahcara penyelesaianya dan jika ada perkara diluar keupayaan management company maka saya perlu bantu,” katanya.


Beliau yang sebelum ini pernah tinggal di Taman Penampang berkata, setiap kali ada isu kekurangan air mereka akan rujuk kepada pihak syarikat yang mengurus perumahan berkenaan.


“Ketika ini, pendirian dan penelitian saya adalah sebagai pemudah cara supaya syarikat berkenaan dapat melaksanakan tanggungjawabnya.


“Jika ada perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Jabatan Air, maka menjadi tanggungjawab saya untuk permudahkan.


“Jika masih ada keperluan lain, contohnya masalah teknikal yang tidak dapat diselesaikan dan memerlukan implikasi kewangan ataupun sokongan dana daripada kerajaan, maka menjadi tanggungjawab saya untuk mencari inisiatif.


“Tetapi berdasarkan jawapan bertulis yang diemailkan kepada saya oleh pihak syarikat berkenaan, mereka sedang melaksanakan inisatif-inisiatif untuk menyelesaikannya,” katanya.

Comments


bottom of page