Pejabat TEKUN Penampang kini dibuka,  seterusnya di Kimanis: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pejabat TEKUN Penampang kini dibuka,  seterusnya di Kimanis: Ewon

21 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Penampang kini dibuka dan seterusnya di kawasan Parlimen Kimanis, tahun ini.


Beliau berkata, pembukaan pejabat TEKUN itu akan memudahkan orang ramai di kawasan itu berurusan dengan agensi berkenaan.


“Ini adalah usaha berterusan kita membantu usahawan di seluruh pelusuk negara khususnya di kawasan luar bandar bagi membolehkan mereka mendapatkan perkhidmatan terbaik daripada TEKUN Nasional.


“Saya berharap dengan pembukaan cawangan TEKUN Cawangan Penampang akan melebarkan perkhidmatan TEKUN kepada usahawan-usahawan di daerah ini.


“TEKUN juga akan membuka pejabat cawangan di daerah ataupun kawasan Parlimen Kimanis pada tahun ini sebagai usaha berterusan kita membantu usahawan-usahawan di negara ini untuk terlibat dalam gerakan keusahawanan dan mendapat perkhidmatan terbaik daripada TEKUN melalui program-program pembiayaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pejabat TEKUN Cawangan Penampang, di sini, kelmarin.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, dalam usaha membasmi kemiskinan, tumpuan kerajaan bukan setakat memberikan pembiayaan, bimbingan dan pelbagai sokongan kepada usahawan tetapi kemudahan infrastruktur seperti jalan raya juga diberi perhatian.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pengerusi TEKUN Nasional Dato’ Haji Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun, Dato’ Adam Abd Ghani, Pengurus Tekun Sabah Hemin Osumping dan Pegawai Daerah Penampang Francis Chong.

bottom of page