Pejalan Kaki Maut Dilanggar Pacuan Empat Roda di Penampang
- nabalunews
- Jul 21
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
PENAMPANG, 21 Julai – Seorang pejalan kaki lelaki berusia 77 tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan jalan raya yang berlaku awal pagi hari ini di daerah Penampang.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai lelaki tempatan itu tercampak ke dalam longkang di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah. Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.
Dalam kejadian sekitar jam 7 pagi itu, sebuah pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dipercayai telah melanggar mangsa ketika dalam perjalanan dari arah Jalan Bundusan menuju ke Taman Adamas.

Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, siasatan awal mendapati tiada tanda-tanda rempuhan yang disengajakan, namun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan terperinci.
Beliau berkata pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengambil keterangan saksi dan merakam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan selamat dan memandu dengan berhati-hati, terutamanya di kawasan kediaman dan selekoh yang mempunyai aktiviti pejalan kaki.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.















Comments