Pejalan Kaki Maut Dirempuh Kereta
- nabalunews
- Jul 8, 2025
- 1 min read

8 Julai 2025
KENINGAU: Seorang wanita pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Masak, di sini, berhampiran sebuah bank, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa Suzila Adip, 40, yang berasal dari Kampung Samalang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Keningau Supritendan Yampil Anak Garai berkata, hasil siasatan awal, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Proton Saga.
Katanya, mangsa yang dipercayai cuba melintas jalan berkenaan tiba-tiba dirempuh kereta Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 52 tahun.
“Akibat kejadian berkenaan, mangsa tercampak ke hadapan Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun.
“Mangsa yang disahkan meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Keningau, untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua pemandu tidak disyaki mabuk namun sampel darah diambil untuk ujian toksikologi.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, Inspektor Amiliyawati Amin di talian 017-5004724,” katanya.















Comments