Pejalan Kaki Maut Dirempuh Pacuan Empat Roda
- nabalunews
- 44 minutes ago
- 1 min read

13 Disember 2025
PAPAR: Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika cuba melintas jalan dalam kemalangan di Kilometer 16, Lebuhraya Pan Borneo, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu.

Katanya, pemandu kenderaan terlanggar mangsa yang dipercayai cuba melintas jalan dari sebelah kiri ke sebelah kanan.
“Akibat daripada kejadian berkenaan, mangsa yang parah dilaporkan terhumban sebelum terbaring di atas jalan raya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Papar yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987.
Sehubungan itu, Heryan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya di laluan gelap dan kawasan berisiko kemalangan.














