PEKADIN syorkan kerajaan GRS tubuh stesen TV sendiri
top of page
  • nabalunews

PEKADIN syorkan kerajaan GRS tubuh stesen TV sendiri


7 October 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) mengesyorkan agar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengikut jejak langkah Sarawak menubuhkan stesen TV sendiri.


Ketika membuat gesaan itu, Naib Presiden PEKADIN Simon Malubii berkata sudah tiba masanya pemimpin GRS melakukan anjakan paradigma dalam dunia penyiaran dengan merealisasikan pewujudan TV Sabah itu.


Beliau berpendapat langkah itu penting bagi menonjol dan menyiarkan keunikan kebudayaan dan kesenian masyarakat pelbagai kaum di Sabah Negeri Dibawah Bayu.


Simon berkata walaupun Sabah mempunyai lebih 36 kaum dan subetnik, namun mereka sentiasa hidup aman, damai dan harmoni.


Menurutnya, TV Sabah juga boleh menjadi wadah untuk mengetengahkan bakat anak Sabah yang mencipta nama sama ada dalam mahupun di luar negara.


"Pada masa yang sama ia juga membuka peluang kepada pembekal drama dan kandungan visual dari Sabah, terutama dalam mempromosi keunikan budaya masyarakat negeri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Simon berkata kejayaan kerajaan Sarawak menubuhkan setesen TV sendiri, yang kini dikenali TVS, seharusnya menjadi inspirasi bagi kerajaan GRS menjayakan impian itu yang bakal menjadi kebanggaan lebih 3 juta penduduk Sabah.


Beliau percaya rakyat Sabah pasti menyambut baik langkah proaktif yang bakal diambil oleh kerajaan GRS seiring dengan perkembangan dan kepentingan pembangunan teknologi maklumat yang berperanan menyebarluas berita atau maklumat sahih dan cepat.


"PEKADIN optimis kerajaan GRS dibawah pimipinan Datuk Seri Hajiji Noor mampu menjayakan misi murni ini, sekali gus memartabatkan semangat Perjanjian Malaysia (MA63)," katanya.

bottom of page