top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Pekebun kecil sawit mengeluh harga racun, baja naik mendadak


Sawit di Kg.Dandun Pitas.

3 Disember 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA MARUDU: Pengusaha dan pekebun kecil kelapa sawit di negeri ini mengeluh harga racun dan baja naik mendadak sehingga memberi tekanan kepada mereka.


Berdasarkan tinjauan wartawan Nabalu News di Tuaran, Kundasang, Kota Marudu dan Telupid kenaikan harga racun rumpai dan baja berbeza mengikut daerah dan ada yang naik sehingga 100 peratus.



Misalnya, harga racun sentry untuk sawit dan getah 20 liter yang dijual di Tuaran, daripada RM220 meningkat kepada RM485.50


Bagi Kota Marudu pula racun jenis yang sama naik lebih dua kali ganda daripada RM220 kepada RM485. Manakala bagi Telupid, harga sebelum ini RM250 naik kepada RM492.


Rata-rata pengusaha dan pekebun kecil kelapa sawit menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan kerana gagal mengambil tindakan drastik bagi mengawal kenaikan harga pelbagai jenis barangan termasuk keperluan pertanian.


Sehubungan itu, mereka mencadangkan agar kerajaan sentiasa membuat pemantauan bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan terutamanya di kawasan luar bandar.


Selain itu, mereka juga menyarankan supaya kerajaan memberikan subsidi kepada para pekebun kecil terutama pembelian racun dan baja.


Pekebun kecil kelapa sawit dari Kampung Birahan Darat Kota Marudu Rugaya Mogundang mahu kerajaan mengklasifikasikan racun dan baja sebagai barangan kawalan.


Rugaya Mogundang

“Saya berharap kerajaan dapat menyeragamkan harga semua jenis baja dan racun rumpai bagi mengelak ada peniaga menaikkan harga sesuka hati,” katanya ketika ditemui Nabalu News, hari ini.


Rugaya yang mengusahakan sendiri seluas 10 ekar tanaman kelapa sawit di Kota Marudu berkata, kenaikan kedua-dua barangan keperluan utama para petani itu amat membebankan.


“Kenaikan harga racun dan baja meningkatkan kos perbelanjaan dan pengurusan ladang. Sebab itu bagi mengurangkan kos pembelian racun rumpai, kami menggaji tenaga buruh untuk kerja-kerja pembersihan di ladang.


“Bagi kerja-kerja pembajaan pula, skala pembajaan hanya dapat dilakukan sekali setahun berbanding dua kali setahun sebelum ini bagi mengurangkan kos pembelian baja,” katanya.


Katanya lagi, harga racun rumpai dan baja sawit tidak sama di setiap daerah.


“Harga baja sawit (baja subur) RM105 berbanding hanya RM75 pada tahun lalu. Begitu juga dengan racun sentry (20 liter) ia meningkat secara berperingkat-peringkat, mula-mula RM220, kemudiannya RM280, meningkat lagi sehingga RM345, terus meningkat kepada RM380 dan terbaru RM450.


“Peningkatan harga baja subur (Sawit) kira-kira 40 peratus dan racun sentry pula meningkat 100 peratus. Bukan harga baja sawit saja yang naik tetapi baja durian pun naik, tahun lalu RM90 satu karung sekarang harganya RM180,” katanya.


Beliau berkata walaupun pendapatan bulanan meningkat ekoran kenaikan harga sawit namun ia tidak bermakna selagi kos pengeluaran untuk membeli baja dan racun terus meningkat.


Kebun kelapa sawit di Kampung Birahan Darat Kota Marudu.

“Sebelum pandemik Covid-19, harga sawit sekitar RM300 hingga RM400 satu tan dan semasa pandemik harga sawit meningkat sekitar RM800 hingga RM900.


“Harga sawit meningkat tapi kos perbelanjaan untuk pengurusan ladang juga meningkat. Kesimpulannya tiada makna kenaikan harga sawit sebab harga barangan keperluan harian yang lain pun melambung tinggi,” katanya.


Rugaya berkata, dari segi kawalan harga barangan keperluan pertanian, dia tidak berpuas hati dengan kerajaan kerana kurang pemantauan di semua peringkat seluruh daerah di Sabah sehingga berlaku perbezaan harga yang begitu ketara.


“Setakat ini usaha pihak kerajaan membantu para pekebun hanya melalui pelaksanaan Persijilan Minyak Sawit Mapan (MSPO) bagi meningkatkan kualiti pengeluaran sawit agar diterima di peringkat global.


“Selain itu, kerajaan telah mewujudkan Koperasi Sawit Mapan untuk memudahkan pekebun menghantar hasil sawit di pusat timbangan yang disediakan serta membolehkam pekebun mendapat insentif seperti pinjaman kewangan bagi keperluan pertanian,” katanya.


Sementara itu Pengusaha Kelapa Sawit Kg.Baba Telupid Andrew Peter Parantis berkata, kenaikan harga keperluan pertanian amat membebankan.


Andrew Peter Parantis

“Harga satu karung baja untuk pokok kelapa sawit yang berumur lima tahun ke atas hanya RM95 tapi sekarang naik sehingga RM205. Sepatutnya dalam satu tahun skala pembajaan tiga kali tetapi untuk menjimatkan kos, kami hanya baja satu kali sahaja.


“Bagi baja buah pula sebelum ini harganya hanya RM60 satu karung, sekarang naik sehingga RM150.


“Harga racun sentry juga naik, dulu RM250 (20 liter) sekarang RM492 tetapi ada juga kedai yang jual sehingga RM580,” katanya.


Andrew yang mengusahakan seluas 30 ekar tanaman kelapa sawit sejak 20 tahun yang lalu berkata, walaupun harga sawit meningkat kepada RM965 (pusat pengumpulan) daripada hanya RM380 sebelum ini, namun ia tiada beza kerana harga racun dan baja turut meningkat.


Andrew mengusahakan sendiri kebun kelapa sawitnya seluas 30 ekar.

“Walaupun harga sawit lebih baik daripada sebelum ini namun harga racun dan baja sangat mahal ketika ini. Harga racun satu tong (20 liter) mencecah RM500, begitu juga dengan harga baja, sebelum ini RM65, sekarang meningkat kepada RM145,” katanya.


Sehubungan itu beliau berharap kerajaan dapat menyeragamkan harga dan memantau penjualan racun dan baja di seluruh Sabah.


Baja sawit RM95 sekarang naik sehingga RM205.

“Saya berharap kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu para pengusaha, pekebun dan petani yang terjejas dengan kenaikan harga baja dan racun,” katanya.


Sementara itu, Ahzveens Akian berkata, kenaikan harga sawit tidak membawa apa-apa keuntungan susulan peningkatan mendadak harga baja dan racun.


Ahzveens Akian

“Kenaikan harga baja dan semua jenis racun untuk pertanian memberi kesan kepada para pekebun kecil kerana ia meningkatkan kos operasi.


“Pada bulan Oktober lalu, harga sawit naik tetapi dengan kenaikan harga baja dan racun, pendapatan tidak banyak berubah," katanya.


Sehubungan itu beliau merayu kepada kerajaan supaya mengeluarkan satu garis panduan dan kawalan harga baja dan racun.


“Ada beberapa jenis racun yang naik dua kali ganda dari harga asal,” katanya yang mengusahakan seluas 160 ekar sawit di Kampung Dandun Pitas.


Ahzveens berkata, kebanyakan pekebun yang baru mengusahkan kembali ladang sawit yang sudah lama terbiar disebabkan harga sawit sebelum ini sangat rendah dan tidak dapat menampung kos operasi mereka mengeluh kerana harga baja dan racun meningkat.


“Apabila harga sawit kembali naik peladang membuka semula ladang dari awal iaitu kerja-kerja pembersihan, meracun serta membaja namun kenaikan keperluan utama pertanian mengecewakan kami," katanya.


Ini menyebabkan ramai tidak berpuas hati dengan kerajaan kerana gagal membela nasib mereka khususnya pengusaha dan pekebun kecil sawit.


“Saya gembira kerana kerajaan berjaya menaikan harga jualan sawit ... ini berita yang sangat baik namun kerajaan juga harus mengawal harga racun dan baja sawit agar tidak membebankan pekebun sawit secara keseluruhannya.



“Bagi peladang kecil, mereka membeli baja dan racun mengikut keperluan dan keluasan ladang mereka dan harga yang diberi oleh penjual memang terlalu mahal berbanding dengan syarikat sawit yang besar di mana baja dan racun dibeli secara pukal dengan harga borong.


“Terdapat perbezaan yang besar dalam harga jualan tersebut. Seharusnya kerajaan menetapkan harga jualan pada tahap yang paling minimum sebab ekonomi rakyat baru saja mula beransur pulih,” katanya.

Comments


bottom of page