KAKITANGAN AWAM, SWASTA DIARAH BEKERJA DARI RUMAH MULA 22 OKTOBER
- nabalunews
- Oct 20, 2020
- 2 min read

20 OKTOBER 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pekerja sektor awam dan swasta diperingkat pengurusan dan pengawasan dalam kawasan zon merah di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah diarah bekerja dari rumah bermula 22 Oktober ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan arahan itu berkuatkuasa 22 Oktober sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan itu tamat.
Beliau berkata, keputusan dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan pergerakan pekerja bagi mengekang penularan Covid-19.
“Melihat kepada trend peningkatan kes positif Covid-19 di negeri dan wilayah-wilayah ini, terdapat keperluan bagi memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini.
“KKM sebelum ini telah mengumumkan terdapat sembilan kluster dari tempat kerja di Selangor sehingga hari ini. Justeru, atas nasihat KKM, sidang Khas MKN hari ini bersetuju agar pekerja-pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta diperingkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu untuk hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah (Work From Home),” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia, hari ini.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga memaklumkan bahawa hampir 800,000 pekerja sektor industri dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah akan terlibat dengan arahan ini.
“Arahan ini juga akan melibatkan seramai hampir 200,000 penjawat awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah.
“Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.
“Pihak majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini,” katanya dan menambah MITI akan mengeluarkan kenyataan media berkenaan arahan ini dalam masa terdekat.
Ismail Sabri berkata, pekerja yang tinggal di kawasan zon merah perlu melakukan swab test dan jika pihak majikan mencarum dengan PERKESO, kos akan ditanggung.















Comments