Pekerja ladang maut dibaham buaya
- nabalunews
- Sep 12, 2024
- 1 min read

12 September 2024
LAHAD DATU: Seorang pekerja ladang maut dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Matamba, Jalan Silabukan, di sini, pagi tadi.
Seekor buaya yang membaham mangsa berjaya ditembak mati renjer Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Reptilia itu dikesan di kawasan sungai kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa disambar dengan keadaan mangsa masih berada di mulut buaya berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam
10.07 pagi tadi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerah ke lokasi yang terletak 40 kilometer dari balai untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JHL Sabah. Setibanya pasukan penyelamat, buaya masih kelihatan di kawasan sungai berkenaan, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa disambar.
“Tindakan JHL Sabah melepaskan lima das tembakan ke arah buaya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, selepas pihak JHL Sabah mengesahkan buaya itu mati, pasukan bomba turun ke sungai dan mengambil mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Manakala buaya sepanjang 4.6 meter itu diserahkan kepada JHL untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, operasi bomba ditamatkan pada jam 1.10 tengah hari.
Terdahulu, mangsa Rusdi Tambah, 45, seorang lelaki warga Indonesia dikatakan sedang memancing di tepi sungai berkenaan sebelum disambar seekor buaya.
Comments