top of page
Wartawan Nabalu News

Pelajar asrama gembira kembali ke sekolah


Pendaftaran pelajar asrama di SMK Tun Fuad Stephens Kiulu sangat teratur dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

21 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Semua pelajar sekolah yang tinggal di asrama kini kembali ke asrama masing-masing sebagai persediaan memulakan persekolahan esok (22 November).


Melalui tinjauan Nabalu News di beberapa sekolah sekitar Tuaran mendapati kesemua pelajar dan ibu bapa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


Kesemua pelajar asrama juga diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum masuk asrama masing-masing.


Seorang pelajar SMK Tun Fuad Stephens Kiulu Evan Ernest berkata, dia gembira kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan dan guru-guru.

“Apa yang penting dapat belajar di kelas seperti biasa dan dapat bertanya secara terus kepada cikgu sekiranya ada yang tidak difahami,” katanya.


Sementara itu Larry Primus pelajar SMK Tamparuli berkata, dia rindu pergi sekolah dan rindu kawan-kawan sekolah.


“Belajar secara online di rumah kadang-kadang banyak gangguan dan tumpuan belajar juga kurang, kalau belajar secara bersemuka, senang faham apa yang cikgu ajar,” katanya.


Bagaimanapun terdapat ibu bapa menyuarakan kebimbangan sekiranya ada penularan Covid-19 di asrama atau sekolah.


Mereka bimbang keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka yang tinggal di asrama sepanjang dua minggu sesi persekolahan.


Sehubungan itu mereka berharap pihak sekolah dapat memastikan semua pelajar luar menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum masuk kelas seperti pelajar asrama yang diwajibkan menjalani ujian saringan itu.

Setakat ini, dua kluster direkodkan di Sabah melibatkan pelajar sekolah di Ranau dan Tenom, iaitu Kluster Kemburongoh dan Kluster Mantailang Atas.


Kluster Kemburongoh membabitkan jangkitan dalam kalangan pelajar asrama dan warden di SMK Kemburuongoh, Ranau.


Manakala Kluster Mantailang Atas Tenom tercetus selepas seorang pelajar asrama SMK Tenom dikesan positif Covid-19 pada 13 November lalu.



Comments


bottom of page