top of page

Pelajar cemerlang Sabah dihargai dengan Anugerah Biasiswa

  • nabalunews
  • Aug 4, 2024
  • 2 min read

4 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah terus memperkukuh pembangunan pendidikan di Sabah menerusi penganugerahan Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan di negeri ini.


Tahun ini, seramai 40 pelajar cemerlang akan dihargai dengan anugerah berprestij ini.


Anugerah ABCNS siri ke-35 tersebut akan disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada 6 Ogos bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.


Pengarah Yayasan Sabah, Dato' Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata ABCNS lebih daripada sekadar pengiktirafan.


"Ia melambangkan komitmen padu kerajaan negeri Sabah, melalui Kumpulan Yayasan Sabah, untuk memupuk pendidikan berkualiti, memperkasakan generasi muda, dan mengasah bakat pelajar cemerlang Sabah.


"ABCNS juga merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah melalui Kumpulan Yayasan Sabah dalam memberikan dorongan serta motivasi kepada pelajar cemerlang agar konsisten mencapai keputusan yang baik dalam semua bidang.


"Kami mengakui bahawa generasi akan datang mewakili aset terbesar negara. Oleh itu, untuk mengekalkan kemajuan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini, kita mesti menyalurkan usaha kita ke arah melengkapkan kumpulan ini dengan pengetahuan dan kemahiran penting untuk mewujudkan generasi masa depan yang seimbang," ujar beliau dalam kenyataan hari ini.


Gulamhaidar berkata pada ketika ini ramai penerima ABCNS telah menamatkan pengajian mereka, manakala ramai lagi yang masih mengejar matlamat akademik mereka.


"Kepada semua penerima anugerah, semoga kecemerlangan anda terus bersinar. Semoga pencapaian ini membangkitkan rasa rendah diri dan bukannya sekadar berpuas hati.


"Walaupun kita telah meraikan kejayaan, adalah penting untuk diingat kejayaan lampau tidak menjamin kejayaan masa hadapan. Kekalkan ketekunan dan sentiasa proaktif demi kejayaan berterusan," tambah beliau lagi.


Sejak penubuhannya hampir enam dekad lalu, Kumpulan Yayasan Sabah merealisasikan misinya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia di Sabah.


Sejak itu, Kumpulan Yayasan Sabah telah bergerak ke hadapan dan kekal teguh, menokok tambah pelbagai usaha kerajaan negeri dan Persekutuan dalam membangunkan negeri ini, khususnya dalam aspek pendidikan.


Pada majlis sama, Hajiji juga akan menyampaikan penghargaan kepada lapan penerima Anugerah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page