Pelajar Cemerlang SMK Narinang 2025 Dirai Dalam Majlis Apresiasi
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 23 Julai – Majlis Apresiasi Kurikulum, Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid (HEM) 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan SMK Narinang, hari ini.
Perasmian majlis disempurnakan oleh Carlye Lajimin, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, selaku wakil beliau.
Majlis tahunan yang melibatkan murid Tingkatan 1 hingga 6 serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) ini bertujuan mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.
Dalam ucapannya, Carlye menyampaikan hasrat Ewon yang memuji usaha warga SMK Narinang dalam menjayakan majlis tersebut serta menekankan kepentingan pengiktirafan sebagai penyuntik motivasi kepada semua pelajar.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan menyatakan keyakinan bahawa kejayaan ini akan melahirkan modal insan yang seimbang, berpendidikan dan berkemahiran selaras dengan hasrat kerajaan.
Yang Dipertua Persatuan Ini Bapa dan Guru (PIBG) SMK Narinang, Melon Yaming, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada guru-guru yang bertungkus lumus membimbing pelajar dan menasihati pelajar agar terus gigih berusaha mencapai kejayaan.
Pengetua SMK Narinang, Mohd Asrul Pasok Abdullah, berkata majlis ini diadakan khusus untuk meraikan pelajar yang mengharumkan nama sekolah dalam kurikulum, kokurikulum serta menunjukkan sahsiah dan kepimpinan cemerlang sepanjang tahun 2025.
Beliau merakamkan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir serta barisan guru atas komitmen dan kerjasama yang menjadi kayu ukur kecemerlangan sekolah secara keseluruhannya.
Majlis yang mendapat sokongan padu daripada pihak sekolah, guru dan PIBG itu diharapkan menjadi suntikan motivasi kepada semua pelajar untuk terus cemerlang pada masa hadapan.















Comments