top of page

Pelajar Cemerlang SPM 2026 SMK Tambulion akan terima insentif RM1,000: Fandhy

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 1 min read

Oleh Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 7 Julai: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tambulion (SMK Tambulion) yang memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 akan menerima insentif kewangan sebanyak RM1,000 seorang.


Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tambulion, Fandhy Rajin berkata, insentif itu adalah hasil kerjasama PIBG SMK Tambulion dengan Syarikat Borneo Keranahan, tanpa menetapkan sebarang had kuota penerima.


Katanya, insentif itu diperkenalkan sebagai galakan dan penghargaan kepada pelajar yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM.


“Pendidikan adalah pelaburan paling bernilai untuk masa depan, maka kami memutuskan untuk memberikan insentif kepada semua pelajar yang memenuhi kriteria memperoleh semua A setiap mata pelajaran.


“Saya berharap inisiatif itu dapat menjadi pembakar semangat kepada semua calon SPM 2026 untuk terus memberikan komitmen terbaik dalam pembelajaran,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Cerdik Base Camp Siri 5.0 bagi calon SPM 2026 SMK Tambulion di Bonda Chalet Rasmin, Rampayan Laut, mewakili Datuk Ewon Benedick, ADUN Kadamaian tang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.


Fandhy berkata, pemberian insentif itu turut mencerminkan komitmen PIBG SMK Tambulion bersama Syarikat Borneo Keranahan dalam menyokong pembangunan potensi pelajar serta menghargai kecemerlangan akademik sebagai aset penting kepada keluarga, sekolah dan masyarakat.


Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua pelajar agar terus berusaha dan menjadikan insentif berkenaan sebagai motivasi untuk mencapai keputusan terbaik dalam SPM 2026.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page