Pelajar gembira, tiada lagi gangguan belajarPelajar gembira, tiada lagi gangguan belajar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelajar gembira, tiada lagi gangguan belajar



8 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan dan Jacquline Ebit


“Saya gembira kerana kami boleh pergi ke sekolah seperti biasa, belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) jauh bezanya dengan belajar di sekolah.


“Antara cabaran yang saya hadapi sepanjang menjalani PdPR ialah capaian internet yang tidak baik. Seterusnya, sukar untuk memberikan perhatian semasa class online kerana diganggu oleh adik-beradik," kata Velanie Nijeal Vernie Vyner, ketika ditemui Nabalu News, baru-baru ini.

Velanie Nijeal Vernie Vyner

Pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu itu berkata, sebagai persediaan memulakan pembelajaran di sekolah, dia memastikan semua tugasan yang diberikan sepanjang PdPR disiapkan.


“Apa yang penting saya harus memastikan tahap kesihatan saya dalam keadaan yang baik," katanya yang sudah lengkap suntikan vaksin Covid-19.


Sementara itu seorang lagi pelajar dari sekolah yang sama, Kristelda Violita Chong berkata, dia gembira kerana tidak lagi belajar keseorangan.


“Belajar di rumah dan di sekolah amat jauh bezanya sebab talian internet di kampung saya tidak baik, jadi kadang-kadang hilang tumpuan untuk belajar dan sukar bertanya soalan sekiranya ada yang kita tidak faham,” katanya.

Kristelda

Begitu juga dengan Vella Faviona Raymond Roy yang menghadapi masalah internet belajar di rumah.


“Masalah internet yang lemah serta tidak fokus belajar di rumah antara cabaran belajar secara online.


“Saya gembira dapat kembali ke sekolah seperti biasa dalam norma baharu,” katanya yang juga sudah lengkap vaksin.


Serena Aby Jasli juga gembira kerana dapat memulakan pembelajaran di sekolah dan belajar bersama rakan-rakan.

Serena Aby

“Sudah lama tidak pergi ke sekolah, rindu masuk kelas.


"Saya boleh meminta bantuan daripada cikgu secara berdepan tanpa halangan seperti gangguan internet yang kurang baik dan dapat menghantar kerja sekolah dan kerja kursus secara terus.


“Apa yang penting, saya dapat memperbaiki kelemahan saya sebagai persediaan menduduki peperiksaan STPM kelak,” katanya.


Serena berkata, disebabkan masalah internet di rumah, dia tidak dapat mengikuti jadual pembentangan kerja kursus yang ditetapkan dan sukar membuat pembetulan kerja kursus.


Sementara itu Jestrecia Joupi berkata, dia gembira kerana sekolah kini dibuka.

Jestrecia Joupi

Katanya, belajar di dalam kelas dan secara online banyak bezanya, "di kelas kita boleh bertanya secara terus kepada cikgu apa yang kita tidak faham".


“Belajar di rumah, saya sering menghadapi masalah internet, kurang faham dengan pelajaran yang diterangkan oleh cikgu melalui google meet dan zoom meeting," katanya.


Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri di Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).


Sabah yang berada dalam Fasa 2 PPN mula mengadakan sesi pembelajaran secara bersemuka sejak 4 Okt lepas bagi murid Tingkatan Enam Semester Dua atau Tingkatan Enam Atas, Murid Berkeperluan Khas (MBK), pelajar Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia dan murid yang mengambil peperiksaan antarabangsa.

bottom of page