top of page

Pelajar Sabah Di Mesir Diingatkan Jaga Integriti dan Jati Diri

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

26 Januari 2026


KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin bertemu pelajar Sabah pada Majlis Mahabah di Kaherah, Mesir sempena lawatan rasmi empat hari ke negara itu.


Tun Musa bersama delegasi yang tiba pada Sabtu lalu disambut Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian dan pegawai dari Kedutaan Malaysia di sana.


Selain bertemu kira-kira 350 pelajar dari Sabah yang belajar di negara itu, Tun Musa turut merasmikan Dewan Al-Imam Al-Tayeb di International Al-Azhar Al-Sharif Academy.

Pada majlis berkenaan, Tun Musa menyatakan harapan agar lawatannya membuahkan hasil dan membawa manfaat bermakna kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Mesir.


Beliau juga berharap lawatan itu mengukuhkan lagi ikatan kerjasama di antara Sabah dan Mesir.


Sementara itu, pada Majlis Mahabah bersama pelajar Sabah di Mesir dan Timur Tengah pada Ahad, Tun Musa antara lain berpesan kepada pelajar dari negeri ini supaya memelihara integriti ilmu dan menjaga jati diri.


"Sebagai seorang yang telah melalui pahit getir kehidupan, pesanan saya kepada anak-anak sekalian, peliharalah Integriti Ilmu, jangan semata-mata mengejar segulung ijazah tetapi kejarlah keberkatan ilmu.


"Jaga Jati Diri, biarlah lisanmu fasih berbahasa Arab atau Inggeris, namun pastikan jiwamu tetap sebagai jiwa anak Sabah yang sentiasa merendah diri, hormat kepada yang tua dan taat setia kepada agama dan tanah air.


"Binalah jaringan kerjasama dan perpaduan, manfaatkan keberadaan anak-anak di sini untuk memupuk kerjasama erat dengan sesiapa saja kerana dunia hari ini adalah dunia tanpa sempadan. Berkolaborasilah dengan rakan-rakan untuk mencapai kejayaan dalam hidup," katanya.


Tun Musa turut berpesan kepada pelajar Sabah di negara itu supaya pulang ke negeri ini setelah selesai menimba ilmu untuk menabur jasa dan bakti.


"Sabah merindui sumbangan bakti anak-anak sekalian. Marilah kita bersama membina sebuah negeri yang bukan sahaja makmur dari segi ekonominya tetapi mulia dan mantap akhlak rakyat sekaliannya," katanya.


Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga EXCO Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Pengerusi MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin dan Mufti Kerajaan Sabah, Sahibus Samahah Datuk Bongsu Aziz Jaafar.


Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-Tugas Khas), Datuk Hanafiah Mohd Kasim; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani dan Pengarah Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page