top of page

Pelajar Seni Kulinari Kolej Vokasional Keningau terima anugerah SENIA

  • nabalunews
  • Aug 13, 2024
  • 2 min read

13 Ogos 2024


KENINGAU: Nur Afiqa Amani Muhd Safwan Sajani, seorang pelajar Seni Kulinari dari Kolej Vokasional Keningau, telah meraih pengiktirafan antarabangsa apabila dipilih sebagai penerima World Changer Award oleh Special Education Network and Inclusion Association (SENIA), seperti yang diumumkan di laman web rasmi persatuan tersebut pada 5 Ogos 2024.


Anugerah yang diberikan oleh SENIA, sebuah persatuan global yang berfokus dalam bidang pendidikan khas, mengiktiraf individu yang telah memberikan sumbangan bermakna kepada komuniti berkeperluan khas.


Maklumat lanjut mengenai sumbangan Afiqa Amani boleh diakses melalui pautan: https://www.seniainternational.org/nur-afiqa-amani-august-2024-senia-world-changer-award-recipient/


Pada awal tahun lalu, Afiqa Amani telah melancarkan kempen kesedaran kesihatan mental yang dinamakan “It’s Okay” dengan tujuan membantu pelajar menangani masalah kemurungan dan kebimbangan melalui kemahiran sosioemosi.


Melalui projek ini, beliau berjaya memimpin pasukannya melaksanakan pelbagai aktiviti seperti bengkel pembelajaran sosioemosi, terapi origami, pesta tarian dan kembara alam.


Projek berkenaan menekankan penggunaan konsep visual seperti emoji, untuk membantu pelajar menyatakan perasaan mereka.


Aktiviti seperti pesta tarian dan terapi origami bukan sahaja berfungsi sebagai medium fizikal dan kreatif, tetapi juga sebagai saluran untuk pelajar mengekspresikan emosi mereka.


Pendekatan ini turut memberi manfaat kepada rakan-rakan pelajar berkeperluan khas di kolej tersebut dalam meluahkan perasaan dengan lebih tepat dan selesa.


Pada tahun sebelumnya, Afiqa telah diundang sebagai pembicara jemputan ke Youth Summit di Manila, Filipina, anjuran SEAMEO INNOTECH. Beliau ditaja sepenuhnya oleh pihak penganjur untuk berkongsi mengenai projeknya dalam sidang kemuncak tersebut.


Selain itu, projek "It’s Okay" juga telah menerima dana melalui Amal Fund pada tahun 2024 untuk memperluaskan lagi impaknya kepada komuniti yang lebih luas.


Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterimanya, Afiqa Amani menyatakan rasa gembira dan berharap agar kempen kesihatan mental yang dirintisnya akan mendapat perhatian lebih luas dari orang awam dan pihak-pihak berkepentingan.


Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Akup, turut mengucapkan tahniah kepada Afiqa dan berharap agar projek yang menekankan perkembangan dan pengurusan keseimbangan rohani, fizikal, dan emosi ini akan terus dilaksanakan untuk memastikan pembangunan menyeluruh para pelajar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page