Pelajar SMK Tamparuli ditempatkan di 16 kabin sementara susulan bangunan sekolah diisytiharkan tidak selamat
- nabalunews
- Oct 25, 2024
- 1 min read

25 Oktober 2024
TUARAN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah akan menyewa 16 kabin untuk menempatkan sementara pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli susulan bangunan sekolah berkenaan diisytiharkan tidak selamat digunakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata JPN Sabah sudah mengemukakan permohonan sewaan 16 kabin itu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kini menunggu kelulusan.
Beliau berkata, laporan pemeriksaan oleh JKR Sabah Julai lalu mendapati bangunan Blok B, Blok C, Asrama Puteri, Asrama Putera, Blok Pra-U dan Blok Bengkel RBT mengalami kerosakan serius dan tidak selamat untuk diduduki.
Katanya, keadaan bertambah serius apabila sekolah berkenaan mengalami kerosakan besar ketika ribut kencang 18 September lalu menyebabkan sebahagian bumbung sekolah itu musnah diterbangkan angin.
Madius berkata, KPM menyalurkan peruntukan bencana bernilai RM190,000 kepada JPN Sabah pada 25 September untuk menangani kerosakan bumbung SMK Tamparuli.
"Ketika ini, kerja pembaikan bumbung bangunan pejabat pentadbiran sekolah itu giat dilaksanakan dan dijangka selesai tidak lama lagi," katanya.
Katanya, menerusi pelan jangka panjang, KPM melalui JPN Sabah merancang mengemukakan permohonan pembinaan bangunan gantian SMK Tamparuli.
Comments