Pelajar UMS Buat Lawatan Sambil Belajar, Kenali Operasi Industri Makanan
- nabalunews
- Nov 4
- 1 min read

4 November 2025
KOTA KINABALU: Seramai 39 pelajar Program Teknologi Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan ke Sabah Tea Sdn. Bhd. sebagai bentuk pendedahan mengenai operasi industri makanan berasaskan pertanian, baru-baru ini.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti luar kampus anjuran Kelab Teknologi Makanan UMS.
Menurut Penasihat itu, Dr. Yanty Norzianna Manaf, aktiviti seumpama itu amat penting dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, di samping membantu pelajar memahami realiti kerja serta cabaran sebenar dalam bidang sains makanan.
“Pendedahan industri seperti ini amat penting untuk membentuk pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga memahami konteks sebenar dunia pekerjaan.
“Sepanjang lawatan, pelajar berpeluang menyaksikan secara langsung proses penanaman, penuaian dan pemprosesan teh, selain memahami konsep amalan pertanian lestari (sustainable agriculture) yang diamalkan oleh syarikat berkenaan.
“Pelajar turut didedahkan kepada aspek kawalan kualiti produk, pengurusan pengeluaran dan strategi pemasaran yang digunakan dalam industri teh tempatan,” ujarnya.
Ketibaan rombongan pelajar telah disambut oleh Pengurus Ladang Sabah Tea, Mohd Durrani Datuk Ir. Najmuddin.
Sementara itu, Pengarah Program, Mohd Zakir Harun berkata lawatan tersebut memberikan pengalaman berharga kepada pelajar kerana mereka dapat melihat secara langsung aplikasi teori yang dipelajari di bilik kuliah dalam konteks industri sebenar.
“Lawatan ke Sabah Tea membuka minda kami tentang bagaimana penghasilan produk makanan dijalankan dari peringkat ladang hingga menjadi produk siap sedia untuk pasaran,” katanya.
Program lawatan sambil belajar itu diharapkan dapat memperkukuh jaringan kolaborasi antara FSMP UMS dengan pihak industri, serta menjadi platform berterusan bagi perkongsian ilmu dan pengalaman dalam bidang teknologi makanan.


















Comments