top of page

Pelaksanaan Enakmen Pengurusan Bangunan 2026 perlukan ketelusan dan integriti - Madius

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 2 min read

30 April 2026


KOTA KINABALU: Kejayaan pelaksanaan Enakmen Pengurusan Bangunan 2026 amat bergantung kepada dua asas utama yang tidak boleh dikompromi iaitu ketelusan dan integriti bagi memastikan matlamatnya untuk melindungi kesejahteraan rakyat tercapai sepenuhnya.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata tanpa pengurusan yang jujur, kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan baharu tersebut akan terhakis dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.


"Tanpa ketelusan, kepercayaan rakyat akan terhakis. Tanpa integriti, sistem akan mudah disalahgunakan.


"Kita mesti memastikan bahawa setiap sen dana penyelenggaraan diurus secara telus dan boleh diaudit, setiap keputusan badan pengurusan boleh dipertanggungjawabkan, dan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan adil, tanpa pilih kasih," katanya.


Beliau berkata demikian semasa berbahas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Bangunan 2026 di Dewan Undangan Negeri Sabah pada hari Khamis.


Madius turut menarik perhatian Dewan terhadap realiti semasa di mana terdapat bangunan yang kelihatan gah dari luar, namun mengalami masalah dalaman yang serius seperti kerosakan lif yang tidak dibaiki serta sistem pencegahan kebakaran yang tidak disenggara dengan baik.


Menurut beliau, isu tersebut bukan sekadar melibatkan soal keselesaan tetapi merupakan soal keselamatan, maruah, dan kesejahteraan rakyat yang perlu diberikan keutamaan oleh kerajaan melalui penguatkuasaan yang tegas.


"Kita tidak mahu pembangunan yang tinggi pada zahirnya tetapi rapuh pada pengurusannya.


"Kita tidak mahu kemajuan yang pesat tetapi meninggalkan risiko kepada rakyat.


"Sebaliknya, kita mahu bangunan yang selamat, pengurusan yang telus, komuniti yang harmoni, dan sistem yang berintegriti," katanya lagi.


Bagi memperkukuhkan pelaksanaan undang-undang tersebut, Ahli Parlimen Tuaran itu turut mencadangkan penggunaan sistem digital untuk pemantauan aduan dan rekod kewangan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan atau salah guna dana penyelenggaraan oleh pihak pengurusan.


Beliau mengingatkan bahawa kegagalan dalam melaksanakan enakmen ini dengan telus akan membawa implikasi buruk termasuk kemerosotan nilai hartanah dan peningkatan risiko keselamatan yang akhirnya menjejaskan ekonomi negeri secara keseluruhan.


"Saya menyokong penuh RUU ini dan berharap agar segala cadangan dan peringatan yang dikemukakan dapat dipertimbangkan demi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada undang-undang yang digubal," ujarnya lagi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page