Pelaksanaan PKP antara punca kelewatan projek Loji Rawatan Air Telibong II TamparuliPelaksanaan PKP antara punca kelewatan projek Loji Rawatan Air Telibong II Tamparuli
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Pelaksanaan PKP antara punca kelewatan projek Loji Rawatan Air Telibong II Tamparuli


12 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KUALA LUMPUR: Kelewatan kemajuan pembinaan projek Loji Rawatan Air Telibong II Tamparuli disebabkan pelbagai isu termasuk pengurusan kontraktor dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ibrahim Man.


Selain itu katanya, ia juga disebabkan isu jajaran paip dicadangan laluan projek Pan Borneo.


“Pada masa ini, tindakan sewajarnya telah diambil bagi memastikan pelaksanaan projek dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.


“Projek ini dijangka siap pada 2022,” katanya dalam jawapan bertulis di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, kelmarin (11 Oktober).


Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau membangkitkan persoalan mengenai perkara itu dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) baru-baru ini.


Mengenai isu Non Revenue Water (NRW) Sabah sebagai yang tertinggi di Malaysia, Ibrahim memaklumkan, sehingga tahun 2020 Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM480 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja menangani masalah tersebut.


“Ini tidak termasuk RM188 juta yang diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) tahun 2021 RMK-12.


“Ingin saya tegaskan bahawa sebagai pihak yang akan mengambil alih projek ini, peranan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) adalah kritikal dalam memastikan semua kerja operasi dan penyelenggaraan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.


Terdahulu dalam ucapan perbahasannya, Madius menyatakan bahawa ‘Kemakmuran Bersama’ yang dihasratkan dalam RMK-12 tidak akan tercapai sekiranya masalah air di Sabah tidak diselesaikan.


“Penduduk di puluhan taman-taman perumahan seperti Taman Seri Rugading, Taman Telipok Ria, Taman Putrajaya, Bandar Siera dan sebagainya mengeluh setiap hari kerana masalah sumber air sehinggalah Loji Rawatan Telibong II siap.


“Mereka hanya menerima air dari jam 9 malam hingga 6 pagi dan saya ingin maklumkan bahawa 22 daripada 84 Loji Rawatan Air di Sabah sudah lapuk dan tidak berfungsi sepenuhnya.


“Malah ‘Non Revenue Water di Sabah mencecah 52 peratus iaitu tertinggi di Malaysia. Saya ingin mendapat penjelasan sama ada 22 Loji Rawatan Air ini telah diberi peruntukan, dan apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi 52 peratus NRW tersebut,” katanya.

bottom of page