Pelan Induk Taman Perindustrian Kota Belud akan dibentang kepada Kabinet Negeri: Ewon
- nabalunews
- 4 minutes ago
- 2 min read

26 Mac 2026
KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Induk Taman Perindustrian Kota Belud akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah akan datang.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, pembentangan kertas kabinet itu selaras dengan pengumuman Kerajaan Negeri sebelum ini untuk membangunkan taman perindustrian baharu di Kota Belud dan Kudat sebagai usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi di negeri ini.
Katanya, pelaksanaan pembangunan Taman Perindustrian Kota Belud akan dikendalikan oleh Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
“Selaku agensi yang diberi mandat untuk melaksanakan taman perindustrian ini kita akan mengangkat kertas kabinet ini dan saya amat yakin Ketua Menteri dan ahli-ahli jemaah menteri yang lain dapat memberi sokongan terhadap cadangan ini, seterusnya membolehkan kita memulakan usaha pemasaran dan menarik para pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya di Kg.Tegudon, di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat besar, sama ada dari dalam atau luar negara, bagi menggalakkan mereka mempertimbangkan pelaburan serta membuka operasi di taman perindustrian berkenaan.
“Sebagai salah seorang Adun kawasan Kota Belud, sudah semestinya ini satu kebanggaan kerana kita bakal menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat sama ada kepada usahawan sedia ada untuk menyertai aktiviti rantaian perkhidmatan ataupun kepada para graduan warga Kota Belud untuk bekerja dengan perusahaan-perusahaan di Taman Perindustrian Kota Belud ini kelak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau akan mengetuai misi perdagangan ke luar negara serta mengiringi Ketua Menteri, khususnya ke China, bagi bertemu dengan pelabur berpotensi.
“Inisiatif ini dilaksanakan bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memperkasa ekonomi Sabah, menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan serta membuka ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk terlibat dalam rantaian perkhidmatan industri,” katanya.
Ewon berkata, secara keseluruhannya kira-kira 13,000 ekar telah dikenal pasti bagi pembangunan taman Perindustrian itu yang akan dilaksanakan secara berfasa tertakluk kepada keputusan Kabinet Negeri.
“Dari segi lokasi, secara spesifiknya kawasan yang dicadangkan terletak di DUN Pintasan bersempadan dengan daerah Kota Marudu dan Kota Belud serta berhampiran kawasan pesisir Pantai Kota Belud.
“Mudah-mudahan ia mendapat sokongan daripada masyarakat setempat karena sudah tiba masanya Kota Belud mempunyai aktiviti ekonomi yang lebih besar seperti taman Perindustrian yang boleh menjana ekonomi, selain Pekan Kota Belud,” katanya.











