Pelancong China Lemas Di Pulau Sipadan
- nabalunews
- 9 hours ago
- 1 min read

20 Mei 2025
SEMPORNA: Seorang pelancong lelaki dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti selaman di perairan Pulau Sipadan, di sini, semalam.
Lelaki warga China berusia 37 tahun itu sempat diberikan rawatan kecemasan di Hospital Semporna sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Sabri Zainol berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.45 pagi apabila mangsa yang menyelam tanpa jurulatih dikatakan tenggelam selepas terpisah dari kumpulan penyelam lain.

Katanya, mangsa merupakan salah seorang penyelam dan menyertai lapan penyelam lain untuk aktiviti rekreasi di kawasan berkenaan.
“Seorang jurulatih penyelam yang menyedari kehilangan mangsa kemudian cuba mencari sebelum menemuinya dalam keadaam tidak sedarkan diri di dasar laut pada kedalaman 25 meter.
“Mangsa terus dibawa ke atas bot dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) namun masih tidak sedarkan diri,
“Mangsa dikatakan hanya sempat memberi respon dengan menarik nafas panjang serta muntah-muntah namun kekal dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke Hospital Tawau.
Katanya, mangsa akhirnya disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan pihak polis membuka kertas siasatan dengan mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Difahamkan, pelancong berkenaan datang ke Pulau Sipadan bersama isterinya dan ketika kejadian berlaku, isteri mangsa berada di atas bot tersebut.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, ASP Mohammadi Ali Bin Amat di talian 013-2120852 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Comments