Pelancongan domestik, berasaskan komuniti akan diberi tumpuan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelancongan domestik, berasaskan komuniti akan diberi tumpuan



16 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan akan memberi tumpuan pelancongan domestik terutama produk pelancongan berasaskan komuniti yang sangat berpotensi membantu memulihkan sektor pelancongan khususnya ketika penutupan pintu sempadan antarabangsa masih berkuat kuasa.


Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata berkata, pada masa yang sama, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan yang holistik untuk memastikan keunikan dan kepelbagaian etnik, warisan dan budaya serta kekayaan alam semula jadi kekal relevan sebagai aset dan daya tarikan utama pelancongan di negeri ini.



Beliau berkata untuk tujuan itu, pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program berkaitan pengukuhan hubungan etnik, pembangunan budaya dan warisan serta konservasi kepelbagaian biologi dan alam sekitar akan dipergiatkan.


“Di samping itu, pelbagai kajian berkaitan alam sekitar akan dilaksanakan dalam usaha untuk memperkasa pengurusan alam sekitar. Output kajian-kajian ini akan menyumbang kepada perancangan dan pembangunan alam sekitar yang mampan,” katanya.



Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 di Kota Kinabalu, hari ini.


Tun Juhar berkata, kerajaan Negeri juga akan memperhebat pelaksanaan program untuk membangun produk-produk pelancongan baharu berasaskan alam semula jadi.


Katanya, pada tahun ini, antara program baharu yang akan dilaksanakan termasuklah Projek Selam Skuba Rangka Kapal dan Selam Bebola Terumbu di Pulau Mamutik serta Program Anak Angkat Orkid Liar dan Anak Angkat Rangka Karang.


Beliau berkata, kerajaan Negeri juga sedang dalam peringkat persediaan bagi menerima panel penilai antarabangsa untuk mengiktiraf Taman Kinabalu sebagai UNESCO Global Geopark.



“Program-program penguatkuasaan, pengawalan dan kajian hidupan liar juga akan dipergiatkan untuk menambah baik pengurusan hidupan liar dan membangun sektor pelancongan berasaskan konservasi hidupan liar di negeri ini,” katanya.


Tun Juhar juga berharap pemulihan industri pelancongan pada tahun ini adalah lebih baik.


“Kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan semula sektor pelancongan sebagai persediaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri Sabah khususnya apabila aktiviti pelancongan antarabangsa dibenarkan kelak.


“Ini termasuklah memperkasa pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas pelancong serta produk-produk pelancongan baharu dan menjalankan promosi pelancongan secara lebih agresif.



“Kerajaan Negeri juga dari semasa ke semasa menjalin perkongsian pintar bersama syarikat penerbangan, ejen pelancongan dan pejabat-pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia di luar negara bagi meneroka potensi pasaran baharu yang boleh dimanfaatkan oleh industri pelancongan negeri ini,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page