Pelantikan Ahli Majlis Daerah Kota Marudu: Joachim harapkan kerjasama, komitmen tinggi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelantikan Ahli Majlis Daerah Kota Marudu: Joachim harapkan kerjasama, komitmen tinggi


Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA MARUDU: Seramai 17 orang telah dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Kota Marudu (MDKM) bagi sesi 2023-2025 dalam satu upacara angkat sumpah yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.


Dr. Joachim dalam ucapan beliau menekankan bahawa pelantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang berat dan penting untuk memajukan daerah Kota Marudu.


Beliau juga menggesa Ahli Majlis supaya menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan perancangan dan program MDKM serta memberikan sokongan dan kerjasama yang padu dengan pegawai-pegawai MDKM.


“Ahli Majlis perlulah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam apa juga perancangan dan program yang akan dilaksanakan oleh MDKM dan berikanlah sokongan dan kerjasama yang padu untuk memajukan daerah Kota Marudu agar dapat bersaing seiring dengan daerah-daerah lain.


Beliau berkata demikian ketika berucap untuk merasmikan pada Majlis Upacara Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Daerah Kota Marudu (MDKM) bagi Sesi 2023 – 2025 yang diadakan Bilik Gerakan Majlis Daerah Kota Marudu, kelmarin.


Selain itu, beliau juga mengharapkan MDKM dapat mencapai dan meningkatkan kewangan serta mencari sumber-sumber baru supaya kemampuan kewangan majlis dapat ditingkatkan.


Dr. Joachim juga menyeru Ahli Majlis supaya menanamkan sikap kerja berpasukan, tegas, cekap dan kreatif dalam mencetuskan idea-idea yang selari dengan hala tuju pelan tindakan Sabah Maju Jaya.


Turut hadir dalam upacara tersebut ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Faridah Giau; Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong; Pegawai Eksekutif, Abdul Sani Arsat; Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri serta kakitangan Majlis Daerah.

bottom of page