top of page

PELANTIKAN PENGERUSI BERNAMA SATU PENGHORMATAN BUAT WANITA, GOLONGAN OKU - RAS ADIBA

  • nabalunews
  • Nov 24, 2020
  • 1 min read


24 Nov 2020


PUTRAJAYA: Senator Ras Adiba Mohd Radzi berkata pelantikan beliau sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan satu penghormatan bukan sahaja buat wanita malah juga kepada golongan orang kurang upaya (OKU).


Personaliti TV veteran itu merupakan wanita dan OKU pertama yang dilantik memegang jawatan berkenaan, sekali gus mencipta sejarah dalam 53 tahun penubuhan agensi berita tersebut.


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mengumumkan pelantikan Ras Adiba sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola baharu Bernama, menggantikan Suhaimi Sulaiman yang melepaskan jawatan itu pada 6 Ogos lepas.


Ras Adiba, 52, ketika berkongsi aspirasinya untuk Bernama berkata agensi berita itu tidak boleh hanya memfokus kepada berita dan hal ehwal semasa sebaliknya perlu cuba memaparkannya melalui penceritaan yang lebih baik dan lebih dekat di hati rakyat.


"Saya tahu Bernama boleh melakukannya kerana Bernama mempunyai pasukan yang begitu berpengalaman. Ini sekadar bermain dengan idea mereka dan memastikan kita dapat mengetengahkannya. Kita perlu sentiasa berkhidmat untuk rakyat, bersama rakyat supaya kita dapat memperkasakan rakyat," katanya.


Ras Adiba berharap perkhidmatan Bernama Radio dan Bernama TV, stesen radio dan saluran televisyen yang dikendalikan Bernama, dapat dinikmati oleh OKU.


"Saya amat teruja kerana saya sudah lama mengikuti program Bernama dan akhir-akhir ini saya meneliti kandungan dan persembahannya. Saya tidak sabar untuk bertemu dengan mereka (petugas di bahagian editorial)," katanya.


Ras Adiba mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator pada 20 Mei tahun ini dan merupakan perwakilan komuniti OKU di Dewan Negara. – Bernama


 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page