Pelbagai bantuan bersepadu untuk PMKS tempatan: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Pelbagai bantuan bersepadu untuk PMKS tempatan: Ewon


9 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan bersepadu kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.


Beliau berkata, ia meliputi aspek produktiviti dan automasi, aplikasi dalam talian, e-dagang, e-pembayaran dan aplikasi teknologi maklumat.


“Agensi-agensi KUSKOP juga menyediakan pelbagai program pembangunan kapasiti, khidmat nasihat, bantuan teknikal dan akses kemudahan kewangan untuk PMKS.


“Semua insiatif ini selari dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030) bagi mencapai matlamat negara keusahawanan unggul menjelang 2030,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat Kebangsaan 2023, di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.


Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


Ewon turut menyeru para usahawan merebut peluang daripada pelbagai program pembangunan dan skim bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan.


“Kerajaan akan terus memberikan sokongan bagi mempertingkatkan keupayaan PMKS di negara ini ke tahap yang lebih tinggi, sejajar dengan keperluan semasa, sekali gus melonjakkan Malaysia di mata dunia,” katanya.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selaku rakan strategik, semua agensi di bawah KUSKOP, penaja dan rakan-rakan strategik lain iaitu Pos Malaysia Berhad, Unifi Business, Telekom Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), dan Credit Guarantee Corporation (CGC) yang membantu menjayakan program ini.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pengerusi SME Corp. Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Surveyor Haji Kamarulzaman Mat Salleh.

bottom of page