- nabalunews
Pelbagai pendekatan baharu diguna dalam PADU jalankan penyasaran bersubsidi - Rafizi
29 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan untuk melaksanakan beberapa penyasaran bersubsidi, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan sebarang perubahan dasar tidak berlaku secara mendadak sehingga mendatangkan kesan sampingan kepada rakyat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kerajaan boleh mengenalpasti terus penerima-penerima yang wajar dan ini membolehkan pendekatan kerajaan berubah secara berfasa.
“Apabila kerajaan membuat keputusan mengenai perkara lain seperti RON95, tidak seperti keadaan sebelum ini, kita telah pun ada data yang bersepadu yang telah diharmonikan dan disahkan untuk membolehkan kerajaan dengan segera melaksanakan apa-apa bentuk penyasaran subsidi dan bantuan kepada keluarga yang memerlukan.
“Untuk tempoh masa akan datang oleh kerana PADU adalah satu pangkalan data bersepadu kerajaan, itu membolehkan semakan bantuan-bantuan lain dan juga program-program khusus untuk membantu rakyat itu boleh disemak terus dengan PADU.
“PADU dibangunkan kerajaan untuk memastikan ada pengkalan data utama yang bersepadu yang mengambil data untuk memberi gambaran yang lengkap tentang kedudukan sosioekonomi sesebuah isi rumah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad, di Dewan Negara, hari ini.
Datuk Dr. Azhar bertanya apakah rancangan kerajaan bagi membantu mereka yang berdaftar bagi memastikan mereka yang layak, menerima bantuan sewajarnya.
Ujarnya lagi, dari segi ketersediaan, PADU sudah bersedia dan pelbagai pendekatan baharu yang sebelum ini tidak digunakan, sudah digunakan dalam PADU.
Sebagai contoh, dalam memastikan penentuan kelayakan penerimaan bantuan itu bukan lagi semata-mata berdasarkan satu garis pendapatan nasional, tetapi mengambilkira kedudukan dan kos sara hidup mengikut daerah, tanggungan keluarga dan juga perbelanjaan untuk menjalani kehidupan yang wajar.
Mengikut rekod, setakat ini seramai 58.7 peratus atau kira-kira 17 juta rakyat telah berdaftar dengan PADU.
Comentários